Selasa, 16 Oktober 2018 | 6:07pm
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Keadilan, Datuk Rashid Din. - Foto Zunnur Al Shafiq
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Keadilan, Datuk Rashid Din. - Foto Zunnur Al Shafiq

Tiada aduan politik wang

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR tidak menerima sebarang laporan rasmi mengenai politik wang dalam pemilihan parti itu termasuk daripada Naib Presidennya, Rafizi Ramli.

Pengerusi JPP, Datuk Rashid Din berkata, setakat ini tiada aduan rasmi yang diterima jawatankuasa itu tetapi ada banyak cakap-cakap yang diterima Pengawas Pusat Pemilihan parti tetapi tanpa bukti dan mereka enggan membuat aduan rasmi.

Katanya, JPP tidak melayan aduan berdasarkan cakap-cakap kerana sukar untuk menyiasat perkara itu.

“Aduan perlu dibuat secara rasmi dengan bukti yang kukuh supaya mudah tindakan diambil. Isu politik wang ini serius dan kita sama sekali tidak berkompromi dengan perkara ini,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan berlakunya politik wang dalam pemilihan parti itu.

Semalam, Rafizi yang bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti kali ini, mendakwa politik wang berlaku secara berleluasa di enam negeri yang sudah mengadakan pemilihan.

Beliau, ketika berucap di hadapan penyokongnya pada majlis amanat sempena Pemilihan PKR di Seremban berkata, ada cabang yang menerima sogokan dalam bentuk sumbangan sebanyak RM100,000 dan RM200,000.

Sementara itu, ditanya mengenai prosedur pemilihan yang dipertikaikan sesetengah pemimpin parti, katanya JPP sudah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) dan perkara itu sepatutnya dipatuhi semua Pengawas Pusat Pemilihan.

Katanya, masalah timbul apabila ada Pengawas Pusat Pemilihan tidak mengikut SOP yang ditetapkan, namun masalah itu berjaya diatasi dan Pengawas berkenaan sudah ditegur serta diberikan amaran.

“Masalah juga timbul apabila pengundi ini tidak sabar dan enggan mengikut SOP kita tetapkan sedangkan kita sudah berikan kemudahan seperti kerusi dan khemah untuk menunggu, malah di sesetengah kawasan kita sediakan makanan dan minuman. Anggota juga kena jaga etika mereka supaya tidak timbul masalah,” katanya.

Berita Harian X