Selasa, 16 Oktober 2018 | 2:59pm
Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) bergambar bersama penerima- penerima watikah pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Perunding Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan (M3PK) merangkap Pengerusi Majlis Perunding Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri (M3PN) di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) bergambar bersama penerima- penerima watikah pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Perunding Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan (M3PK) merangkap Pengerusi Majlis Perunding Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri (M3PN) di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

PKR belum terima aduan politik wang - Saifuddin

KUALA LUMPUR: PKR belum menerima sebarang aduan berhubung politik wang pada pemilihan parti itu.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang meminta ahli parti yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu membuat aduan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Katanya, dalam pengetahuan beliau sehingga kini masih belum ada aduan mengenai politik wang diterima pejabatnya.

“Sehingga sidang media ini diadakan, pejabat Setiausaha Agung belum menerima sebarang aduan mengenai politik wang.

“Jika ahli mengetahui politik wang berlaku mereka boleh membuat aduan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Bencana Sulawesi oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ditanya mengenai dakwaan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengenai politik wang berlaku secara berleluasa di enam negeri yang sudah mengadakan pemilihan parti itu.

Rafizi yang bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dilaporkan mendakwa, suasana politik wang itu tidak pernah dilihat dalam PKR sebelum ini dan pihak “sebelah sana” bertanggungjawab.

Saifuddin berkata, beliau juga tidak menerima sebarang aduan daripada Rafizi mengenai politik wang itu.

Katanya, kalau dakwaan itu benar, beliau percaya ada aduan akan dibuat dan parti sedia berbincang isu itu.

“Kita juga sedia berbincang dengan Rafizi kerana beliau terbabit dalam pemilihan ini,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya sama ada dakwaan itu benar-benar berlaku atau tidak, hanya ahli parti di bawah sahaja yang tahu.

Katanya, ahli parti kena buat aduan kerana budaya politik wang yang menghancurkan parti seperti yang berlaku kepada UMNO.

“Budaya politik wang itu tak dibenarkan bertapak dalam PKR, tidak sama sekali,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata sebarang perubahan prosedur pada pemilihan parti itu adalah dalam bidang kuasa JPP.

Justeru, katanya jika ada sebarang perubahan perlu ditanyakan kepada JPP.

Berita Harian X