Ahad, 23 September 2018 | 4:12pm
JOHARI pada sidang media berhubung kekecohan dalam pemilihan pimpinan PKR Kedah, semalam. - NSTP/Nor Farhani Che Ad
JOHARI pada sidang media berhubung kekecohan dalam pemilihan pimpinan PKR Kedah, semalam. - NSTP/Nor Farhani Che Ad

Kekecohan pemilihan PKR Kedah seakan dirancang - Johari

SUNGAI PETANI: Kekecohan ketika proses pemilihan pimpinan PKR Kedah semalam, dipercayai sengaja dirancang pihak tertentu termasuk pemimpin parti yang tidak berpuas hati.

Calon Ketua Cabang PKR Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, berkata antara keadaan yang dilaporkan adalah kehadiran pemimpin tertentu bersama kumpulannya yang membuat kekecohan pada pemilihan Cabang PKR Jerai di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Choong Hwa, Gurun.

Katanya, kehadiran pemimpin yang tidak bertanding di Cabang PKR Jerai kira-kira jam 2.45 petang itu seakan sengaja apabila mereka turut mencetuskan kekecohan dengan merosakkan peralatan yang ada di dalam pusat pemilihan.

“Awalnya berlaku masalah teknikal pada sistem e-undi di Cabang PKR Jerai, namun sistem kembali boleh digunakan dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Rashid Din meminta pemilihan diteruskan dan proses pemilihan berjalan seperti biasa.

“Bagaimanapun sekitar jam 2.45 petang, ada sekumpulan individu bertindak membuat kekecohan di pusat mengundi dengan menghalau pengundi serta merosakkan peralatan di dalam pusat mengundi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata, beliau yang berada di tempat kejadian melihat sendiri pemimpin terbabit bersama kira-kira 60 hingga 70 penyokong mereka mencetuskan kekecohan berkenaan.

“Saya tidak faham kenapa pemimpin yang tidak bertanding di cabang itu boleh berada di pusat pemilihan berkenaan dan menimbulkan kekecohan di situ.

“Saya yakin ini ada kena mengena dengan kekecohan yang turut berlaku dalam pemilihan di Cabang PKR Sungai Petani dan pergaduhan yang berlaku di Cabang PKR Merbok,” katanya.

Berikutan itu, beliau yang turut bertanding jawatan Naib Presiden PKR, meminta JPP menyiasat kejadian itu dan memastikan proses pemilihan selepas ini berjalan lancar.

SITUASI kecoh pada pemilihan cabang PKR Sungai Petani semalam apabila pengundi tidak berpuas hati kerana tidak dapat mengundi selepas berlaku masalah pada sistem mengundi. - NSTP/Nor Farhani Che Ad
SITUASI kecoh pada pemilihan cabang PKR Sungai Petani semalam apabila pengundi tidak berpuas hati kerana tidak dapat mengundi selepas berlaku masalah pada sistem mengundi. - NSTP/Nor Farhani Che Ad

“Apa yang berlaku adalah satu perlakuan luar jangkaan, apabila kita tubuhkan parti ini pada 1999 dan sebagai pemimpin yang membawa parti ini ke Kedah, saya tidak pernah mimpikan perkara ini terjadi.

“Saya membuat kesimpulan bahawa ini semua terjadi kerana apabila kita mula memerintah, apabila kita ada kuasa dan kedudukan, masing-masing berebut untuk pegang jawatan,” katanya.

Sementara itu, Johari turut meminta JPP menyediakan pelan tindakan sekiranya sistem e-undi mengalami masalah termasuk menimbang kemungkinan kembali menggunakan sistem lama.

“JPP perlu memilih tempat yang bersesuaian sebagai lokasi pengundian dan jika mahu meneruskan e-undi, alat peranti iPad perlu disediakan lebih banyak terutama di cabang yang mempunyai pengundi ramai.

“Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu, jumlah ahli parti kini mencecah 900,000 di seluruh negara dan jumlah yang layak mengundi di setiap negeri juga ramai,” katanya.

Berita Harian X