Sabtu, 8 September 2018 | 9:00am

Pemilihan PKR bukan penentu jawatan PM

BERMULA 22 September ini, ahli PKR akan memilih barisan kepemimpinan parti di peringkat pusat dan cabang masing-masing. Naib Presiden PKR, Tian Chua yang dikenali sebagai reformis- antara pemimpin terawal PKR mempertahankan jawatannya untuk penggal kedua.

Ikuti temubual wartawan NSTP, Rohaniza Idris dan Syed Umar Ariff dengan beliau mengenai pemilihan parti itu serta aspirasi yang beliau akan bawa untuk PKR.

Soalan: Tempat untuk Naib Presiden PKR hanya empat, tetapi yang mahu bertanding kali ini 12 orang. Adakah ini satu petanda yang baik untuk parti?

Jawapan: Ini perkara biasa dalam demokrasi. Demokrasi mesti ada pertandingan. Pertandingan ini terbuka kepada semua ahli parti dan ini sebahagian daripada kelebihan PKR. PKR memberi ruang kepada semua anggota memilih pucuk pimpinan. Anggota bukan saja boleh bertanding mereka juga diberikan hak untuk memilih kepemimpinan parti.

S: Adakah ini bermakna kini wujud kumpulan yang mahu berebut kuasa?

J: Ini tidak dapat dielakkan. Cara yang terbaik untuk memilih dan melahirkan kepemimpinan parti adalah melalui demokrasi. Kita tidak boleh halang dan elakkan persaingan di antara anggota yang menawarkan diri bertanding pada pemilihan parti. Ini satu cara yang baik dan mengukuhkan institusi parti lebih-lebih lagi jika ia dilaksanakan dengan cara yang baik dan calon yang bersaing bertanding dalam semangat kekeluargaan.

S: Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam kempennya menyatakan beliau bertanding pada pemilihan parti bagi memastikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri. Apa pandangan saudara?

J: Keputusan sama ada Anwar akan dilantik sebagai Perdana Menteri ia bukan urusan dengan pemilihan parti kali ini. Pemilihan parti ini adalah mengenai soal menawarkan kepemimpinan yang terbaik untuk parti supaya parti maju ke hadapan.

Kita bukan lagi parti pinggiran, parti pembangkang atau parti nyamuk. Dengan mandat yang diterima PKR kini, membuktikan misi dan matlamat perjuangan PKR diterima rakyat marhain. Pada satu ketika, ada yang menyatakan PKR parti yang tiada visi kerana perjuangannya hanya mahu membebaskan Anwar saja, tiada tawaran dan agenda berkaitan dengan kebajikan rakyat, pembangunan negara dan kemajuan ekonomi.

Terbukti, rakyat tidak lagi menganggap PKR parti yang hanya ada satu isu untuk diperjuangkan - iaitu membebaskan Anwar. Anwar juga sudah dibebaskan dan kini bebas daripada segala tuduhan dan mempunyai hak untuk bergerak sebagai seorang warganegara dan pemimpin parti.

Ini satu realiti yang tidak perlu dipertikaikan. Jadi mengapa sekarang, kita perlu bangkitkan soal hak Anwar untuk menjadi Perdana Menteri dan wujudnya halangan Anwar dilantik ke jawatan itu. Kejayaan PKR hari ini adalah satu pengiktirafan atas perjuangannya selama ini.

Anwar mempunyai visi yang jelas membentukkan parti yang dianggotai pelbagai kaum yang satu masa dulu dikatakan tidak realistik dengan arena politik tanahair.

S: Tapi isu Anwar dijadikan PM dimainkan dalam kempen pemilihan PKR?

J: Sekarang, idea Anwar itu sudah dapat diterima rakyat, justeru mengapa kita hendak membangkitkan isu Anwar tidak mendapat tempat sebagai Perdana Menteri.

Persoalan mengenai siapa bakal menjadi Perdana Menteri dalam pemilihan PKR satu yang tidak masuk akal kerana pemilihan calon Perdana Menteri ini ditentukan di peringkat kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) bukannya kepemimpinan parti.

Malah, dalam penentuan jawatan Perdana Menteri ini, jika semua anggota PKR dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bersetuju dengan satu nama pun ia masih bergantung kepada keputusan PH, iaitu dipersetujui semua dengan konsensus empat parti dalam PH.

Jadi, ia tidak bergantung kepada kepemimpinan ‘unilateral’ PKR. Saya tidak nampak persaingan jawatan Timbalan Presiden antara Rafizi dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ini akan menentukan sama ada Perdana Menteri itu dari PKR atau tidak.

Sebaliknya, hubungan yang baik dan kepemimpinan yang boleh menggabungkan konsensus semua parti dalam PH itu lebih penting. PKR wujud dari hari pertama kerana kita parti yang inklusif bukan hanya dianggotai ahli pelbagai kaum dan agama tetapi menggabungkan pelbagai kepemimpinan daripada pelbagai aliran.

Itu sebab dalam PKR kita ada bekas ahli parti kerajaan, anggota pembangkang, golongan berhaluan kiri, kesatuan sekerja, aktivis masyarakat dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Dari hari pertama Anwar dipecat, idea penggabungan antara parti juga dicetuskan.

PKR bersama PAS dan DAP ketika itu setuju mewujudkan persefahaman kerana percaya tiada parti tunggal yang boleh menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Bagi saya PKR tetap bergantung kepada dasar politik penggabungan dengan parti lain. Ini bermaksud untuk Anwar menjadi Perdana Menteri, beliau perlukan sokongan padu daripada DAP, Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Saya tidak nampak kepemimpinan PKR mempunyai corak agak pragmatik dan bertindak melulu dengan parti gabungan lain. Ini akan membantu dalam memupuk perpaduan.

Saya tetap yakin kepemimpinan sedia ada kini mampu serta mempunyai karektor yang stabil dalam mengekalkan hubungan yang baik dengan parti dalam gabungan ini.

S: Saudara sudah dua penggal memegang jawatan Naib Presiden. Ada yang melihat faktor ini satu kelebihan, apa pandangan saudara?

J: Bagi saya dalam sebuah parti politik itu yang penting adalah kerjasama. Tidak boleh mana-mana pemimpin menyatakan mereka menyumbang lebih kepada parti berbanding orang lain. Pada saya, sumbangan yang sikit pun sangat penting untuk parti terus bergerak.

Ini kerana politik itu satu fenomena yang kompleks, kita tidak boleh ukur saya menyumbang lebih daripada orang lain, Bagi saya, mahu terus tetap melihat peranan saya untuk menjadi pelengkap kepada kepemimpinan yang lain.

Contohnya, ketika saya mula menyertai PKR, waktu itu persepsi orang ramai terhadap parti ini adalah parti serpihan UMNO dan tidak perjuangkan rakyat tetapi pertindihan kuasa di antara dua pemimpin UMNO.

Itulah sebab pada mulanya masyarakat Cina dan bukan Melayu yang lain tidak berapa tertarik dengan agenda PKR. Penyertaan saya, untuk cuba mengubah persepsi itu dan pada masa sama memperkenalkan perjuangan PKR kepada orang bukan Melayu selain saya memainkan peranan memupuk persefahaman antara pelbagai kaum.

Saya sangat menghargai visi Anwar yang dari awal lagi menetapkan PKR sebagai parti yang menyanjungi kepelbagaian. Itu sebabnya, penyertaan saya memperluaskan lagi skop aktiviti parti dan sehingga kini PKR diiktiraf masyarakat pelbagai kaum bahawa parti ini boleh mencerminkan kepentingan semua kaum dalam bangsa Malaysia.

Bagi saya, ini satu proses pembangunan parti dan ini tidak akan berjaya jika kita tiada satu pasukan yang saling membantu antara satu sama lain. Kita tidak mahu kembali kepada memperkukuhkan satu persepsi bahawa perjuangan PKR hanya membebaskan Anwar dan kini mahu menjadikan beliau Perdana Menteri, dan selepas itu apa?.

Sekarang masa yang sesuai untuk kita jelaskan mengenai visi Anwar untuk masyarakat. Anwar pernah perjuangkan isu masyarakat sivil, isu masyarakat yang mempunyai minda cergas dan menerima cabaran dan teguran serta pembaharuan.

Anwar seorang yang menjadi jaguh dalam menganjurkan dialog antara tamadun, dialog antara agama dan semua perkara ini harus diletakkan sebagai prinsip perjuangan PKR.

Kita hanya jangan lagi sebagai formaliti menumpukan lagi pada soal rampasan kuasa. Ini akan memberi persepsi yang negatif kepada PKR juga kepada Anwar.

S: Ada kata PKR parti yang bergantung kepada Anwar semata-mata, apa pandangan saudara?

J: Kita mahu orang ramai melihat PKR sebagai parti yang jaguh dalam idea yang progresif. Anwar bukan sekadar seorang tokoh atau individu yang hendak rampasan kuasa saja tetapi beliau mencerminkan etos era baru negara, mengajukan idea yang progresif; idea maju ke depan; idea inklusif serta idea praktikal dalam membangunkan negara.

Bagi saya ia tidak dapat dilakukan Anwar seorang dan beliau memerlukan pasukan berpengalaman, mempunyai sikap yang stabil dan menterjemahkan idea ini daripada hanya satu konsep yang abstrak untuk dijadikan realiti.

S: Bagaimana saudara melihat perjalanan kempen pemilihan kali ini kerana salah seorang calon Naib Presiden, Dr Xavier Jayakumar menyatakan wujud budaya kempen tidak sihat?

J: Bagi saya menjadi tanggungjawab kita sebagai pemimpin ‘senior’ dan berpengalaman untuk membimbing anggota parti supaya mereka berkempen berada dalam kerangka lebih sihat.

Itu sebab, saya mengambil sikap tidak mahu diheret dalam politik serangan peribadi walaupun saya difitnah dan diserang secara peribadi. Saya tidak bermaksud kita harus melayan dan membuat serangan yang sama.

Bagi saya anggota bijak memilih dan membuat penilaian sama ada cara agresif yang menyerang peribadi termasuk pemimpin lama yang banyak berjasa dalam perjuangan itu adalah satu budaya politik yang boleh disokong akar umbi.

Saya tetap yakin, cara kita berkempen ini (bukan agresif) akan memenangkan calon yang tidak menunjukkan sikap agresif.

S: Calon bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli secara terbuka mengumumkan pasukan atau kumpulan beliau dalam pemilihan kali ini. Apa pandangan saudara?

J: Saya memang sudah tegur perkara ini. Ini adalah persaingan dalam keluarga dan dalam satu pertubuhan yang mana semua anggota parti mempunyai visi dan matlamat perjuangan sama.

Ini berbeza sekali ketika kita bersaing dalam pilihan raya kerana ia membabitkan dua parti dengan ideologi berbeza dalam menentukan hala tuju negara. Dalam pemilihan parti, arah tuju parti telah ditetapkan dalam perlembagaan parti termasuk prinsip dan visi parti.

Jadi sesiapa yang setuju dengan idea ini mereka menyertai parti. Justeru, bagi pemilihan ini, kita menawarkan perkhidmatan dan idea bagi memperbaiki dan mengukuhkan serta meningkatkan organisasi serta melengkapkan pasukan kepemimpinan parti.

Jadi, bagi saya, sesiapa yang berminat untuk bertanding, hanya perlu menawarkan diri sebagai calon dan tidak perlu mengumumkan pasukan tertentu untuk menumbangkan pasukan lain. Ini memperlihatkan kumpulan yang lain tiada tempat dalam parti.

Bagi saya, lebih cenderung kepada pendekatan Azmin yang tidak mengumumkan teamnya. Biarlah akar umbi menentukan gandingan sesuai dengan Timbalan Presiden, rakan Naib Presiden dan anggota MPP yang mereka inginkan, kita rela bekerja dengan sesiapa saja, kita kena ikut saja kehendak akar umbi.

Kalau kita kata team ini akan ganti team satu lagi, ini jelas menampak persaingan tidak sihat. Adalah lebih baik calon menawarkan diri bertanding dan akar umbi buat pilihan mereka. Kita boleh buat pengakuan sesama calon yang lain tetapi jangan buat menu politik atau chai.

Jangan kita terikat dengan menu pakej, bagi saya kita patutnya buat ala carte, yang mana anggota parti bebas membuat pilihan dan menggabung menu yang mereka rasa sesuai, jangan kita menghina dan memperlekehkan akar umbi, seolah-olah tiada kebebasan dalam membuat pilihan dalam spektrum yang sangat luas bagi memilih pemimpin parti.

Chai ini sangat tidak bagus malah kita lihat wujud perlakuan sindir menyindir dan serangan peribadi ke atas anggota dalam team yang berkenaan. Saya juga tidak setuju pendekatan yang menyatakan jika anda tidak berada dalam team Rafizi, anda sebenarnya team Azmin.

Kita tidak sepatutnya buat andaian sedemikian. Sebagai pemimpin senior, saya melalui proses yang panjang lebih 20 tahun memimpin. Kalau kita hanya memilih orang yang sehaluan dengan kita tidak mungkin PKR maju seperti hari ini.

S: Bagaimana dengan peluang saudara untuk terus mengekalkan kedudukan sebagai Naib Presiden PKR dalam kedudukan saudara yang tiada dalam kerajaan serta bukan lagi Ahli Parlimen ?

J: Bagi saya, sudah memberikan perkhidmatan kepada parti lebih 20 tahun. Jika akar umbi rasa perkhidmatan saya tidak diperlukan, saya akan terima dan tiada masalah. Saya tidak tetapkan kepentingan diri dalam parti ini dan saya tidak perlukan pendapatan melalui aktiviti parti.

Saya juga tidak bergantung kepada Anwar untuk mendapatkan jawatan dalam kerajaan atau mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Bagi saya, secara sukarela, saya suka kepada perjuangan dan nilai keadilan.

Saya akan tetap dengan parti ini dan jika saya diberikan tempat untuk terus berkhidmat, saya akan teruskan. Jika anggota parti merasakan orang lain lebih sesuai mereka bebas untuk memilih dan saya tidak akan rasa sakit hati atau sedih dengan pilihan mereka.

S: Apa pandangan saudara mengenai peluang mereka yang ada dalam Kabinet untuk menang lebih besar pada pemilihan kali ini?

J: Selama 20 tahun kita hanya menjadi parti yang melaungkan reformasi dan mendesak kerajaan melaksanakan idealisme parti kita. Kita tidak diberikan peluang melaksanakan prinsip yang kita sanjungi.

Reformasi sebenarnya bermula setelah Barisan Nasional (BN) jatuh, kerana sebelum itu ia hanya satu proses perjuangan dan laungan reformasi. Sebab itu, pada masa itu kita adakan protes dan perhimpunan jalan untuk sedarkan rakyat mengenai kelemahan kerajaan.

Sekarang, rakyat sudah setuju dengan kita dan memberikan peluang untuk menjadi kerajaan. Inilah masa melaksanakan reformasi. Sekarang bukan masa untuk kita mengkritik dan membuat pendedahan skandal.

Rakyat tidak mahu tahu dan berminat dengan masalah kita. Perdana Menteri mengambil sikap dan pendekatan bukan lagi mendedahkan masalah dan menghukum kerajaan terdahulu saja tetapi bagaimana menyelesaikan masalah yang ditimbulkan.

Adalah sangat penting parti memberi mandat kepada mereka yang memikul tanggungjawab melaksanakan idealisme reformasi. Bagi saya rakyat yang akan menilai bukan atas laungan kita dan pergerakan untuk membuat himpun besar-besaran lagi tetapi hasil pentadbiran negara, nilai dan prinsip diterjemahkan jadi realiti dan dasar kerajaan atau secara subsentif memperbaiki kehidupan rakyat.

Ini saya rasa penting anggota parti menyokong usaha mereka yang ada tanggungjawab ini. Bagi saya mereka dalam Kabinet adalah pasukan hadapan kerana mereka ada tanggungjawab besar dalam kerajaan dan rakyat menilai mereka hasil kerja mereka.

S: Berdasarkan pengalaman lalu, adakah parti akan melantik calon yang kalah pada pemilihan parti untuk mengisi jawatan dalam parti memandangkan bagi jawatan Naib Presiden ada tujuh tempat yang mana tiga lagi tempat dilantik oleh kepemimpinan parti bukannya dipilih anggota parti.

J: Saya rasa tidak perlu dilantik mereka yang telah ditolak dalam pemilihan parti. Sebaliknya, sekiranya kepemimpinan merasakan jasa Rafizi masih diperlukan walaupun beliau kalah, saya rasa pemimpin yang baharu nanti akan memilih beliau sebagai salah seorang Naib Presiden yang dilantik.

Saya nampak ini tidak ada masalah. Saya sendiri mengandaikan tidak mungkin jawatan Naib Presiden akan ditawarkan kepada saya jika saya tidak dipilih. Saya percaya masih boleh memainkan peranan dalam parti dan akan tetap memberi tenaga untuk memantapkan parti.

S: Akhirnya siapakah sebenarnya saudara pilih sebagai Timbalan Presiden parti, Azmin atau Rafizi?

J: Saya memilih Azmin kerana beliau paling sesuai memegang jawatan Timbalan Presiden kerana beliau pemimpin yang berpengalaman. Malah, parti ini dibangunkan ketika generasi Azmin bersama saya, Mohd Ezam Mohd Nor dan Zuraidah Kmaruddin (Ketua Wanita).

Saya tidak kata team Rafizi tidak ada calon berpengalaman, di sana kita ada ada Johari Abdul dan Saifuddin Nasution. Sebaiknya pemimpin veteran ini, kita tidak boleh pecahkan mereka, seeloknya mereka digabungkan supaya masing-masing terus menyumbang kepada parti. Sebagai pemegang jawatan, saya melihat Azmin sudah pun memainkan peranannya secara berkesan.

Jangan kita berkempen sehingga menunjukkan ketidakstabilan dalam kepemimpinan parti yang mungkin menyebabkan keraguan dalam kalangan rakyat kepada parti. Saya berkeyakinan dengan Azmin kerana beliau boleh membantu Anwar memimpin parti, pemimpin yang matang, stabil dan boleh membantu mengukuhkan kedudukan Anwar sebagai Presiden dan Perdana Menteri.

Azmin juga mempunyai sumber yang kuat bukan saja melalui jaringan hubungan di peringkat pusat, tetapi juga di negeri dan akar umbi. Kita tidak banyak pilihan dan saya mahu anggota tetap memberi sokongan kepada Azmin.

Sebarang usaha untuk menjatuhkan Azmin mirip usaha menjatuhkan Anwar ketika berada dalam UMNO. Akibatnya membawa kemusnahan kepada UMNO dan akhirnya kini orang hilang keyakinan kepada parti itu.

NAIB Presiden PKR, Tian Chua. - Foto Aziah Azmee
NAIB Presiden PKR, Tian Chua. - Foto Aziah Azmee
Berita Harian X