Sabtu, 4 Ogos 2018 | 4:23pm
WARGA emas mengundi di Sekolah Kebangsan Telok Menegon pada pilihan raya kecil N.49 Dun Sungai Kandis. - Foto Osman Adnan
WARGA emas mengundi di Sekolah Kebangsan Telok Menegon pada pilihan raya kecil N.49 Dun Sungai Kandis. - Foto Osman Adnan

Dr Wan Azizah rayu pengundi Sungai Kandis tunai tanggungjawab

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, merayu pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis keluar menunaikan tanggungjawab bagi memilih wakil rakyat kawasan itu.

Dr Wan Azizah yang juga presiden PKR berkata, ini berikutan peratusan keluar mengundi sehingga jam 3 petang tadi hanya mencapai 40 peratus.

"Cuaca diramalkan hujan pada sebelah petang. Saya merayu supaya pengundi turun menunaikan tanggungjawab segera," katanya menerusi Twitter hari ini.

SPR sebelum ini mensasarkan 80 peratus keluar mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

PRK itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K Murthy.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang memaklumkan hanya 40 peratus daripada keseluruhan 51,217 pemilih berdaftar keluar mengundi pada PRK Sungai Kandis sehingga jam 3 petang tadi, menggesa pengundi keluar menunaikan tanggungjawab sebelum pusat mengundi ditutup jam 5.30 petang ini.

Katanya, sebanyak 19 pusat mengundi dengan 109 saluran dibuka bermula 8 pagi tadi hingga 5.30 petang ini.

Keputusan PRK Sungai Kandis dijangka diumumkan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad, pada malam ini di Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, di sini.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menyaksikan pertambahan seramai 417 pengundi baharu menjadikan jumlah keseluruhan 51,217 pengundi.

Berita Harian X