Sabtu, 4 Ogos 2018 | 11:54am
TIMBALAN Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Othman Mahmood (tengah) meninjau proses mengundi bagi Pilihan Raya Kecil N49 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Pusat Mengundi Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin hari ini. - Foto BERNAMA
TIMBALAN Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Othman Mahmood (tengah) meninjau proses mengundi bagi Pilihan Raya Kecil N49 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Pusat Mengundi Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin hari ini. - Foto BERNAMA

Rancang waktu mengundi - SPR

KLANG: Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dinasihatkan merancang waktu mengundi hari ini dengan sebaik mungkin dan keluar awal berikutan keadaan cuaca diramal tidak menentu terutama pada waktu petang.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood, berkata sehingga kini proses pengundian pilihan raya kecil (PRK) itu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

"Saya lihat secara purata 60 hingga 70 orang pengundi bagi satu-satu saluran mengundi yang saya lawati dan dijangka lebih ramai pengundi akan keluar mengundi tengah hari nanti," katanya kepada pemberita ketika meninjau pusat pengundian di Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin di sini, hari ini.

DUN Sungai Kandis mempunyai 51,230 pengundi berdaftar dengan pengundi biasa seramai 51,217 orang dan 13 pengundi tidak hadir.

SPR sebelum ini menyasarkan 80 peratus keluar mengundi pada PRK yang diadakan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Ia menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni; calon BN, Datuk Lokman Noor Adam; dan calon Bebas, K Murthy. - BERNAMA

Berita Harian X