Rabu, 25 Julai 2018 | 6:18pm

KJ tolak tawaran saya tiga kali - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin didakwa menolak tawaran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengisi jawatan dalam parti itu sebanyak tiga kali.

Ketika mendedahkan perkara itu, Ahmad Zahid berkata, tawaran pertama diberikan sebelum pemilihan UMNO ketika beliau mencadangkan kepada Khairy untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Katanya, cadangan terbabit dikemukan kepada Ahli Parlimen Rembau itu selepas bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menarik diri daripada bertanding jawatan berkenaan.

"Saya beri peluang kepadanya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden kerana Hishamuddin menarik diri daripada bertanding.

"Tetapi, dia mahu kekal sebagai calon Naib Presiden, namun kemudian bertanding jawatan Presiden.

"Selepas dia kalah, saya tawarkan pula jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), dia tolak juga.

"Sebelum barisan kepemimpinan UMNO yang baharu diumumkan, saya tawarkan buat kali ketiga kepadanya, jawatan Ketua Penerangan parti tetapi dia tolak juga," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan memberikan peranan tertentu kepada Khairy bagi membolehkan bekas Ketua Pemuda UMNO itu terbabit secara langsung dalam pemulihan parti.

Ditanya apakah alasan dikemukakan Khairy disebalik penolakan tiga tawaran berkenaan, Ahmad Zahid berkata Khairy mungkin ada perancangan sendiri untuk membantu UMNO serta menjadi pembangkang yang konstruktif.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, beliau turut mengemukakan tawaran kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li, ketika kedua-duanya bertemu semalam.

"Saya beranggapan 'winner cannot take all', jadi saya harus merundingi beberapa perkara mengenai peranan efektif yang boleh dimainkan beliau untuk membantu menterjemahkan kebangkitan semula UMNO.

"Itu (peranan ditawarkan) saya telah bincangkan dengannya dan beliau akan buat keputusan kelak," katanya.

Ketika pemilihan parti pada 30 Jun lalu, jawatan Presiden UMNO menyaksikan pertembungan lima penjuru dengan Ahmad Zahid berjaya mengatasi Khairy, Ku Li serta dua yang lain.

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir ke Dewan Rakyat pada Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. - Foto Mohd Yusni Ariffin
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir ke Dewan Rakyat pada Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Berita Harian X