Isnin, 9 Julai 2018 | 12:54pm

PRK DUN Sungai Kandis 4 Ogos

PUTRAJAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Selangor, akan diadakan pada 4 Ogos, manakala hari penamaan calon ditetapkan 21 Julai depan.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood, berkata PRK berkenaan akan menyaksikan beberapa penambahbaikan dilakukan suruhanjaya itu bagi mengurangkan kesesakan di pusat mengundi dan memberi keselesaan kepada pengundi.

"Bagi pengundi berusia 60 tahun ke atas, dua saluran akan diwujudkan.

"SPR juga akan menambah saluran di pusat mengundi yang memiliki jumlah pemilih ramai. Penambahan 21 saluran baharu akan menjadikan adanya 109 saluran di DUN itu berbanding 88 pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"SPR juga memanjangkan masa pengundian dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang, berbanding hanya hingga jam 5 petang sebelum ini," katanya pada sidang mediam di sini, hari ini.

Othman berkata, SPR akan menggunakan Daftar Pemilih Suku Pertama 2018 yang dikemas kini hingga 2 Julai lalu membabitkan 51,230 pengundi berdaftar merangkumi 51,217 pengundi biasa dan 13 pengundi tidak hadir luar negara.

Beliau berkata, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang akan dibantu tiga Penolong Pegawai Pengurus, selain SPR bersetuju menubuhkan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya bagi memantau kempen PRK berkenaan.

"SPR akan menggunakan Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19 Shah Alam, sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi.

TIMBALAN Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood (tengah) pada Sidang Media PRK DUN N.49 Sungai Kandis, Selangor di Ibu Pejabat SPR, hari ini. - Foto BERNAMA
TIMBALAN Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood (tengah) pada Sidang Media PRK DUN N.49 Sungai Kandis, Selangor di Ibu Pejabat SPR, hari ini. - Foto BERNAMA

"Seramai 865 petugas dilantik dalam kalangan orang awam untuk membantu proses pengendalian PRK DUN Sungai Kandis, manakala 19 premis bangunan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 109 saluran," katanya.

Othman berkata, kos bagi PRK pertama selepas PRU-14 itu dianggarkan berjumlah RM1.4 juta.

Katanya, SPR turut menawarkan kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan berminat untuk menjadi pemerhati proses PRK DUN itu dengan memohon kepada suruhanjaya berkenaan sebelum 16 Julai ini.

Ditanya sama ada tambahan masa setengah jam bagi tempoh mengundi itu akan diteruskan SPR pada masa depan pula, beliau berkata, keputusan itu mengambil kira teguran mengenai pengundi tidak sempat mengundi pada PRU lalu dan akan melihat kesesuaiannya pada pilihan raya akan datang.

Sementara itu, jurucakap SPR berkata, tiada pengundian awal akan dilakukan pada PRK DUN Sungai Kandis kerana DUN berkenaan tiada pengundi berdaftar polis dan tentera.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, akibat kanser limfoma, 2 Julai lalu.

Mat Shuhaimi dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008 dan mempertahankan kerusi itu pada PRU-13 serta PRU-14 selepas nama DUN itu ditukar kepada Sungai Kandis susulan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

TIMBALAN Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood melihat peta kawasan DUN N.49 Sungai Kandis selepas sidang media Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis, Selangor di Menara SPR, Putrajaya. Turut bersama Pegawai PRK DUN N.49 Sungai Kandis, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad (kanan). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
TIMBALAN Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood melihat peta kawasan DUN N.49 Sungai Kandis selepas sidang media Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis, Selangor di Menara SPR, Putrajaya. Turut bersama Pegawai PRK DUN N.49 Sungai Kandis, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad (kanan). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X