Ahad, 1 Julai 2018 | 9:15pm
KETUA Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad (tengah). - Foto Syarafiq Abd Samad
KETUA Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad (tengah). - Foto Syarafiq Abd Samad

Mereka khianati pengundi - Wanita UMNO

KUALA LUMPUR: Wanita UMNO menyifatkan tindakan tiga Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) daripada UMNO yang keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas sebagai pengkhianat.

Sehubungan itu, Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad, mencabar mereka untuk melepaskan jawatan masing-masing.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali; Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Katanya, tindakan ketiga-tiga wakil rakyat ini terutama Mas Ermieyati yang juga bekas Ketua Puteri UMNO sebagai mengkhianati kepercayaan pengundi yang memilih mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Wanita UMNO mengingatkan beliau dan wakil rakyat BN lain, status Ahli Parlimen yang disandang bukanlah hanya kerana diri mereka sendiri tetapi ia kombinasi kerja kuat jentera Jalinan Rakyat dan kepercayaan rakyat terhadap UMNO dan BN.

"Jika ada masalah atau isu dengan kepimpinan dan perjalanan UMNO, perkara ini patut dibincang bersama dengan baik di dalam UMNO hingga ke peringkat tertinggi. Jangan gunakan ketidakpuasan hati untuk keluar parti dengan alasan hilang kepercayaan.

"Saya cabar mereka melepaskan jawatan Ahli Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil kerana kepercayaan rakyat mesti dihormati dan mereka mesti diberi hak untuk memilih wakil rakyat yang mewakili parti dipercayai," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Noraini berkata Wanita UMNO akan berbincang dengan pasukan peguam parti untuk melihat bagaimana untuk menangani perkara ini supaya ia dapat dielakkan daripada berulang.

"Pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat yang memilih BN oleh Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat parti atau keluar menjadi wakil rakyat Bebas perlu dihentikan.

"Kepercayaan rakyat tidak boleh dijadikan alat untuk seseorang individu melunaskan kehendak politik peribadi," katanya.

Berita Harian X