Khamis, 28 Jun 2018 | 4:46pm
MOHD Zaki Hassan
MOHD Zaki Hassan

SPRM pantau pemilihan UMNO

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri akan menghantar pegawai dan anggotanya untuk memantau kempen pemilihan UMNO, termasuk di pusat mesyuarat pemilihan parti itu di seluruh negeri ini, Sabtu ini.

Pengarah SPRM negeri, Mohd Zaki Hassan, berkata walaupun belum menerima aduan rasmi mengenai penggunaan wang daripada calon yang bertanding, pemantauan perlu bagi mengelakkan berlaku rasuah.

Katanya, SPRM bersedia menggerakkan pasukan Pejuang Revolusi Gerakan Anti Rasuah (GERAH) yang dianggotai orang awam untuk memantau pemilihan UMNO itu.

"SPRM juga meminta kerjasama orang ramai termasuk pengundi atau perwakilan memberi maklumat lengkap, terutama bukti bagi memudahkan tindakan diambil ke atas mereka yang menyogok wang untuk mendapatkan undi.

"SPRM akan melakukan pemantauan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang menyogokkan wang untuk mempengaruhi perwakilan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada NSTP ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Anugerah Belia Negeri di Dewan Kompleks Belia dan Sukan negeri, di sini, hari ini.

Mohd Zaki mengulas saranan Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, Rabu lalu, yang meminta SPRM mengawasi kempen pemilihan parti itu bagi mengelakkan berlaku sogokan politik wang daripada calon bertanding.

Mohd Zaki berkata, selain tindakan ke atas calon, ejen yang dilantik dan perwakilan yang menerima wang juga boleh dikenakan tindakan mengikut Akta SPRM.

"SPRM akan melakukan siasatan mengikut Seksyen 16, Akta SPRM dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000," katanya.

Berita Harian X