Rabu, 27 Jun 2018 | 11:58pm
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki diiringi Ketua Pemuda UMNO Johor Bahru, Mohd Hairi Mad Shah (berdiri, kanan) beramah mesra dengan tetamu ketika majlis Aidilfitri Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Johor Bahru di The South Cafe, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki diiringi Ketua Pemuda UMNO Johor Bahru, Mohd Hairi Mad Shah (berdiri, kanan) beramah mesra dengan tetamu ketika majlis Aidilfitri Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Johor Bahru di The South Cafe, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

Semua calon perlu buat aku janji setia - Asyraf Wajdi

JOHOR BAHRU: Pergerakan Pemuda UMNO, hari ini menggesa semua calon yang bertanding dalam pemilihan Sabtu ini untuk membuat aku janji terbuka mengenai kesetiaan mereka kepada parti.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata aku janji terbuka itu bagi memastikan setiap calon yang tidak berjaya dalam pemilihan untuk terus setia berjuang dalam UMNO.

Katanya, parti memerlukan pemimpin yang setia kerana UMNO masih mempunyai tanggungjawab menjaga dan memelihara kepentingan rakyat.

"Permintaan saya pada semua calon yang bertanding 30 Jun ini mesti buat aku janji kesetiaan pada parti, jangan sesekali gunakan alasan bahawa kalau kita tidak terpilih itu seolah-olah petanda kita ditolak ahli UMNO, maka kita meninggalkan bahtera perjuangan parti.

"Kalau ada sedemikian, mereka ini adalah golongan penderhaka pada perjuangan parti dan rakyat kerana kita (UMNO) masih mempunyai tanggungjawab menjaga dan memelihara kepentingan rakyat," katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Pergerakan Pemuda dan Puteri Bahagian Johor Bahru di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abd Samad dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru, Mohd Hairi Mad Shah.

Dr Asyraf turut menggesa agar calon yang tewas untuk terus berganding bahu dan bekerjasama sebagai satu pasukan dan bukan berpecah atau berpuak-puak.

"Siapa yang dipilih perwakilan menjadi presiden parti Sabtu ini, dialah presiden kita yang akan kita dukung. Saya percaya perwakilan cukup matang.

Saya tidak mahu ada kumpulan dalam parti, kelompok dalam jemaah, kerana ini akan melemahkan kita," katanya.

Berita Harian X