Ahad, 24 Jun 2018 | 9:50pm
ASYRAF Wajdi Dusuki, Noraini Ahmad dan Zahida Zarik Khan.
ASYRAF Wajdi Dusuki, Noraini Ahmad dan Zahida Zarik Khan.

Asyraf, Noraini, Zahida ketua sayap baharu UMNO

KUALA LUMPUR: Tiga muka baharu - Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Datuk Dr Noraini Ahmad dan Datuk Zahida Zarik Khan masing-masing dipilih sebagai Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO pada pemilihan UMNO 2018.

Asyraf Wajdi, 42, yang juga Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mengalahkan tiga pencabarnya iaitu Senator Khairul Azwan Harun, Shahar Abdullah dan Datuk Seri Jamal Yunus bagi penggal 2018/21.

Zahida, 39, bekas Naib Ketua Puteri Umno pula menewaskan pencabarnya yang juga Exco Puteri, Nor Hazreena Mohamad Hashim.

Bagi kerusi Ketua Wanita, Noraini, 50, mengenepikan saingan Naib Ketua Wanita, Datuk Azizah Mohd Dun, 63, serta bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman, 69.

Bagi jawatan Naib Ketua Pemuda pula, ia dimenangi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat, Shahril Sufian Hamdan, 32, yang mengenepikan pencabarnya, Zahrudin Yahya, Shariquq Adam Das, Razali Tushan, Abdul Halim Sidek Ghulam Hassan, Ridzuan Hashim Baki, Safhwan Matusin dan Fariz Hadi.

Ketua UMNO Pulau Pinang, Datuk Norliza Rahim pula memenangi kerusi Naib Ketua Wanita menewaskan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Rosni Zahari, Endang Kusma Mohamed dan Masdiana Salleh.

Keputusan rasmi diumumkan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh pada jam 9.10 malam.

Turut serta pada majlis pengumuman ialah Asyraf Wajdi, Noraini dan Shahril Sufian.

"Keputusan penuh pemilihan sayap dan jawatankuasanya boleh diakses menerusi laman web UMNO," kata Ab Rauf.

BIODATA

KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO

Nama : Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Usia : 42 tahun

Pengalaman :

• Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkuatkuasa pada 29 Julai 2015 sehingga 10 Mei 2018.

• Ahli Dewan Negara dan juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia

• Pengerusi Biro Agama Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan

• Ahli Jawatankuasa Biro Perhubungan NGO-GCOC UMNO Malaysia dan juga Panel Penasihat Skuad An-Nur Pergerakan Wanita UMNO Malaysia

• Pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

• Ketua Hal-Ehwal Penyelidikan, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA) dan Profesor Madya di International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) iaitu institusi pengajian tinggi di bawah Bank Negara Malaysia

KETUA PERGERAKAN WANITA UMNO

Nama : Datuk Dr Noraini Ahmad

Usia : 51 tahun

Pengalaman :

• Ahli Parlimen Parit Sulong sejak 2008

• Penolong Setiausaha Wanita Barisan Nasional Malaysia

• EXCO Pergerakan Wanita UMNO Malaysia

• Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Parit Sulong

• Pengerusi Pertubuhan Ahli Parlimen Wanita Komanwel (CWP) sejak tahun 2016

• Berkelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) Doctor of Philosophy (Development Management), School of Law, Govt and International Studies di Universiti Utara Malaysia,

• Sarjana dalam bidang Pengurusan Peniagaan dari Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR)

• Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perdagangan (Analisa Kuantitif dan Kewangan) dari University of Saskatchewan, Kanada.

KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO

Nama: Datuk Zahida Zarik Khan

Usia : 39 tahun

Pengalaman :

• Ketua Puteri UMNO Pandan

• EXCO Puteri UMNO Malaysia-(2008 - 2013)

• Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Selangor

• Bendahari Puteri UMNO Negeri Selangor

• Exco Majlis Belia Negeri Selangor MBS

• Presiden Persatuan Belia dan Beliawanis Pandan

• Ahli Jawatan Kuasa Kelab UMNO Luar Negara

• Pengerusi Biro Kesihatan Puteri UMNO Malaysia

Berita Harian X