Sabtu, 23 Jun 2018 | 5:12pm
AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Perwakilan UMNO Bahagian Muar 2018, hari ini. - Foto Adi Safri
AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Perwakilan UMNO Bahagian Muar 2018, hari ini. - Foto Adi Safri

Ketepi perkara yang boleh cetus perpecahan

MUAR: Perwakilan dan ahli UMNO digesa mengetepikan perkara yang boleh memecahbelahkan parti itu, terutama menjelang pemilihan kepemimpinan parti terbesar orang Melayu itu, akhir bulan ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim, berkata ini kerana proses pemilihan UMNO perlu digunakan bagi membina semula kekuatan dan kesepaduan dalam parti berkenaan.

"Pada pemilihan ini, kita kena ketepikan perkara yang boleh memecahbelahkan kita. Ramai tanya saya, Presiden (UMNO) nak undi siapa? Timbalan pula nak undi siapa? Begitu juga dengan Ketua Wanita nak undi siapa?

"Saya beritahu kepada semua yang bertanding. Jangan kita bawa calon yang bertanding hingga kita berpuak-puak di (UMNO Bahagian) Muar. Bawalah siapa pun (untuk berkempen) tetapi jangan sampai kita pula yang bergaduh.

"Ini kerana yang kita nak bina ini adalah kekuatan iaitu kesepaduan kita walaupun jumlah kita tinggal kurang sedikit berbanding dahulu," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Perwakilan UMNO Bahagian Muar 2018, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Muar, Zaiton Ismail dan Setiausaha UMNO Bahagian Muar, Selamat Tahkim.

Razali yang juga Ketua UMNO Bahagian Muar berkata, semangat UMNO Bahagian Muar juga tidak pernah pudar dan tidak akan berputus asa untuk terus bekerja kuat bagi memastikan kedudukan agama, orang Melayu dan masa depan negara terus terpelihara.

Pada majlis sama, Razali berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan terus berpegang kepada janji untuk menjaga negara walaupun kini berstatus pembangkang.

"Kalau kita main politik sepanjang masa, yang rugi adalah kita (rakyat). Jika UMNO dan BN bertanding pilihan raya dan berjanji untuk jaga negara, parti lawan kita pun janji nak jaga negara dan dalam sistem demokrasi, yang menang akan tubuh kerajaan.

"Kenapa pula kita perlu sabotaj kerajaan yang ada hari ini. Jangan sesekali kita langgar janji untuk jaga negara. Kita berikan peluang kepada kerajaan tetapi (dengan syarat) biarlah kerajaan dapat jalankan (tugas dan amanah) dengan penuh tanggungjawab," katanya.

Beliau seterusnya akan mencadangkan supaya satu usul berkaitan parti itu tidak dibuka kepada kaum lain dimasukkan ke dalam usul UMNO Bahagian Muar kerana biarlah UMNO terus kekal untuk menjaga orang Melayu.

Katanya, itu adalah permintaan daripada UMNO Bahagian Muar kerana percaya ramai orang Melayu masih percaya kepada parti itu dan jangan dipersiakan kepercayaan itu hanya untuk mengejar perkara yang belum pasti.

Berita Harian X