Sabtu, 23 Jun 2018 | 4:53pm

ADUN BN Besut sumbangkan elaun kepada parti

JERTIH: Tiga Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Besut dari Barisan Nasional (BN) akan menyumbangkan elaun bulanan masing-masing kepada UMNO Bahagian itu bagi membantu pengurusan parti mulai bulan depan.

Tiga ADUN terbabit, Nawi Mohammad (Hulu Besut), Datuk Muhamad Pehimi Yusof (Jertih), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman (Kuala Besut) dan Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh.

Nawi yang juga Ketua Umno Bahagian itu berkata, keputusan memotong elaun bulanan RM1,000 seorang bagi semua wakil rakyat terbabit dipersetujui pada mesyuarat jawatankuasa bahagian itu baru-baru ini.

Katanya, tindakan itu bagi membantu kewangan pengurusan parti selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, kesemua empat wakil rakyat terbabit yang menang pada PRU14 perlu mengorbankan sedikit kewangan bagi menampung pengurusan parti.

"Inilah cara kami berkorban kerana sebelum ini UMNO banyak membantu pemimpin untuk memenangi pilihan raya berkenaan," katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian itu di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB), Gong Kemuntong di sini, hari ini.

Pada PRU-14, BN Besut memenangi tiga daripada empat DUN, manakala DUN Kota Putera dimenangi calon PAS.

Nawi memuji Kerajaan Negeri pimpinan Pas kerana mengambil pendekatan baharu dalam pentadbiran negeri yang membolehkan UMNO terus menggunakan dewan MDB milik kerajaan untuk mengadakan aktiviti termasuk mesyuarat perwakilan UMNO.

Beliau berkata, Idris yang juga bekas Menteri Pendidikan Tinggi diberi tugas dan tanggungjawab sebagai Pengerusi Penyelaras DUN Kota Putera berikutan bekas ADUN Mohd Mahdi Musa yang tewas dalan PRU-14 tidak mahu aktif dalam politik

Katanya, Idris dilihat mampu memulihkan semangat ahli UMNO dan DUN berkenaan kerana beliau sendiri tidak lagi memegang apa-apa jawatan penting dalam parti peringkat bahagian, negeri dan pusat.

Beliau berkata, Idris yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang kini hanya Ketua UMNO Cawangan Seberang Jertih tidak menawarkan diri apa juga jawatan parti semua peringkat pada pemilihan 30 Jun nanti.

Berita Harian X