Sabtu, 23 Jun 2018 | 3:22pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pemilihan Bahagian Selangor, Datuk Saffian Omar (tengah) bergambar bersama Ketua Wanita UMNO Bahagian Sabak Bernam, Siti Rukiah Mohd Taib (kiri) dan Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian, Nor Farhana Alham di Bangunan UMNO Bahagian, Sabak Bernam, hari ini. - Foto Amirul Aiman Hamsuddin
PENGERUSI Jawatankuasa Pemilihan Bahagian Selangor, Datuk Saffian Omar (tengah) bergambar bersama Ketua Wanita UMNO Bahagian Sabak Bernam, Siti Rukiah Mohd Taib (kiri) dan Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian, Nor Farhana Alham di Bangunan UMNO Bahagian, Sabak Bernam, hari ini. - Foto Amirul Aiman Hamsuddin

Siti Rukiah kekal Ketua Wanita UMNO Sabak Bernam

SABAK BERNAM: Ketua Wanita UMNO Bahagian Sabak Bernam, Siti Rukiah Mohd Taib mengekalkan jawatannya selepas menang dalam pertandingan dua penjuru pada pemilihan parti itu, hari ini.

Beliau yang memperoleh 168 undi mengatasi saingannya, Norwana Sulaiman yang juga bekas Ketua Puteri UMNO Bahagian Sabak Bernam mendapat 121 undi selepas tamat pengiraan kira-kira jam 1.30 tengah hari di Bangunan UMNO Bahagian, di sini, hari ini.

Pengumuman dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bahagian Selangor, Datuk Saffian Omar.

Sementara itu, seorang lagi bekas Ketua Puteri UMNO Bahagian, Nor Farhana Alham dipilih sebagai Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian.

Nor Farhana memperoleh 160 undi menewaskan penyandang jawatan itu, Mastijah Ibak yang mendapat 129 undi.

Terdahulu, seramai 289 perwakilan Wanita UMNO Bahagian Sabak Bernam hadir mengundi dalam pemilihan parti bagi sayap berkenaan.

Sementara itu, Saffian ketika ditemui berkata, proses pemilihan berjalan lancar selain sistematik serta penuh semangat kekeluargaan.

"Untuk pemilihan kali ini, perwakilan membuat pilihan bijak memilih gandingan muka lama dan baharu bagi menerajui sayap Wanita bahagian.

"Setinggi-tinggu tahniah diucapkan kepada calon yang menang. Saya berharap kepimpinan kali ini dapat memastikan parti ini berada di landasan sebenar bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)," katanya.

Berita Harian X