X
Rabu, 20 Jun 2018 | 10:49am
SETIAUSAHA Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub. - Foto fail NSTP
SETIAUSAHA Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub. - Foto fail NSTP

Tolak calon beli undi - Veteran UMNO

KUALA LUMPUR: UMNO disifatkan perlu memerangi budaya politik wang habis-habisan demi mengembalikan semula dasar perjuangan parti keramat itu dan meraih sokongan ahlinya selepas 'tersungkur' pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, berkata kesedaran seiring usia parti menjengah lebih tujuh dekad itu berupaya diterapkan menerusi proses pemilihan jawatan Majlis Tertinggi pada 30 Jun ini.

"Perwakilan perlu menolak calon yang menggunakan wang untuk membeli undi dan membuat laporan kepada Jawatankuasa Disiplin UMNO untuk tindakan lanjut.

"Kita juga berharap calon tidak akan menggunakan 'warlord' sebagai ejen mereka, selari tekad UMNO untuk memerangi politik wang kerana golongan inilah yang selalunya membeli undi perwakilan.

"Veteran mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengawasi kempen yang dijalankan bagi mengelak perlakuan sogokan politik wang dalam kalangan calon," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi menjamin ketelusan, Mustapha mahu supaya calon yang bertanding jawatan utama seperti Presiden, Timbalan dan Naib dibenarkan menghantar wakil mereka semasa pengiraan undi di semua bahagian.

Selain itu, katanya, Jawatankuasa Pemilihan UMNO diharap berupaya mengendalikan proses pada 30 Jun ini secara telus dan bersih, tanpa terpalit dengan unsur tidak seperti seperti penipuan kiraan undi yang pernah berlaku dalam sesi pemilihan terdahulu.

"Veteran UMNO berharap pertandingan merebut jawatan di semua peringkat dalam pemilihan pada 30 Jun ini akan berjalan dalam suasana muhibah dan penuh persaudaraan antara mereka yang menawarkan diri untuk bertanding.

"Elakkan serangan peribadi dan memburukkan lawan dalam usaha untuk mewujudkan satu pertandingan yang sihat," katanya.

Berita Harian X