Isnin, 18 Jun 2018 | 2:46pm
TENGKU Rezaleigh Hamzah. - Foto Zunnur Al Shafiq
TENGKU Rezaleigh Hamzah. - Foto Zunnur Al Shafiq

Beri peluang kepada Ku Li

KOTA BHARU: PKR Kelantan menyifatkan Ketua UMNO Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah adalah calon paling layak untuk diangkat sebagai Presiden UMNO.

Pengarah Komunikasinya, Sukirman Mustafa, berkata ia berdasarkan faktor 'roh' UMNO yang ada bersama Tengku Razaleigh yang juga lebih dikenali sebagai Ku Li.

Katanya, UMNO perlu menjadi pembangkang yang kuat kepada kerajaan dan hanya Tengku Razaleigh mampu menguatkan parti berkenaan menggantikan Datuk Seri Najib Razak.

"Dalam beberapa calon lain yang menawarkan diri, kita rasakan Tengku Razaleigh perlu diberi peluang. UMNO perlu diberi nafas baru dalam kepemimpinan selepas parti itu mengalami fasa kejatuhan teruk.

"UMNO tidak boleh berkubur, sebaliknya harus memainkan peranan secara berkesan sebagai pembangkang bersama PAS selepas parti pembangkang lain seolah hidup segan mati tak mahu.

"Mungkin mereka perlu untuk bekerjasama dalam satu gabungan pembangkang. Di sinilah perlunya peranan Tengku Razaleigh kerana beliau dilihat mampu untuk menjadi ketua selepas pemimpin UMNO lain terbabit dengan skandal kerajaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam sejarah tujuh dekad penubuhan UMNO, jawatan presiden parti itu menerima pencalonan terbesar dengan tujuh individu menawarkan diri bagi bertanding pemilihan parti akhir bulan ini.

Selain Tengku Razaleigh, pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan blogger, Rahmat Azim Abdul Aziz, terlebih dulu menawarkan diri dan pada hari terakhir pencalonan semalam, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, membuat kejutan untuk turut serta merebut jawatan tertinggi parti itu.

Difahamkan, calon lain adalah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan Mohd Yusof Musa @ Jamaludin daripada UMNO Bahagian Iskandar Puteri.

Seorang lagi calon adalah Rosile Saat, yang juga Ketua Konvoi Motosikal Ride for World #QuranHour dan Pengerusi Kelab Sukarelawan Hospital Kajang serta Yang Dipertua Melayu Islam Bersatu Malaysia.

Berita Harian X