Sabtu, 16 Jun 2018 | 7:57pm
PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Idris Haron. - Foto Khairunisah Lokman
PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Idris Haron. - Foto Khairunisah Lokman

Bukti UMNO tidak menunjuk-nunjuk - Idris Haron

MELAKA: Pengumuman Tengku Razaleigh Hamzah yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti hujung bulan ini membuktikan UMNO sebagai sebuah parti yang terbuka.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Idris Haron, berkata keputusan dibuat Ahli Parlimen Gua Musang itu jelas menunjukkan sebagai suatu mesej betapa gelanggang pemilihan di peringkat tertinggi parti adalah terbuka untuk sesiapa sahaja.

"Ini membuktikan UMNO mengotakan apa yang dikatakan apabila pemilihan ini terbuka dan tidak lagi tertutup dengan mengamalkan 'tunjuk-tunjuk' siapa yang perlu menjadi Presiden.

"Hari ini, semua jawatan dipertandingkan. Malah, sesiapa pun di peringkat struktur UMNO boleh memberikan cadangan dan saranan (untuk bertanding)," katanya ketika ditemui NSTP di kediamannya di Klebang, di sini, hari ini.

Dalam pertemuan itu, Idris turut mengumumkan bakal mempertahankan jawatannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO selain sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu pada pemilihan hujung bulan ini.

Beliau turut memaklumkan kedudukannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu bakal dicabar oleh jawatankuasa bahagian, Datuk Seri Ali Muhammad.

Ditanya mengenai pendirian UMNO Melaka susulan pengumuman dibuat Tengku Razaleigh atau juga dikenali sebagai Ku Li, Idris berkata, selaku pemimpin yang berada dalam MT, beliau menghormati polisi iaitu mempersetujui secara konsensus yang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjalankan tugas-tugas sebagai Presiden, manakala Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO.

"Sehinggalah kita menerima sebarang pengumuman daripada kedua-dua pemimpin ini, kita (UMNO Melaka) berpegang kepada konsensus ini.

"Saya akan buka kepada Perhubungan UMNO Melaka untuk membuat satu ketetapan mana-mana pihak yang akan kita persetujui (sokongan), melalui mesyuarat perhubungan negeri, pada Rabu depan," katanya.

Mengenai pemilihan UMNO pada hujung bulan ini, Idris memberikan mesej ringkas betapa pemimpin yang sudah ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) wajar untuk bermuhasabah diri.

"Saya tiada halangan buat mana-mana pihak untuk bertanding kerana sifat kita yang menghalang itulah UMNO dibenci atau tidak digemari.

"Kalau kita terus amal dasar populis, tiada ketegasan, tiada transparensi, kita mungkin akan terus kehilangan sokongan rakyat," katanya.

Berita Harian X