Sabtu, 16 Jun 2018 | 6:09pm
PENOLONG Setiausaha UMNO negeri, Datuk Masidi Manjun. -Foto Lano Lan
PENOLONG Setiausaha UMNO negeri, Datuk Masidi Manjun. -Foto Lano Lan

Ku Li bertanding Presiden UMNO petanda positif - UMNO Sabah

KOTA KINABALU: Pemimpin UMNO Sabah menyifatkan keputusan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding jawatan presiden parti sebagai satu petanda positif.

Penolong Setiausaha UMNO negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata UMNO memerlukan pemimpin yang mampu membina semula parti sejak Barisan Nasional (BN) kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Parti perlu buka buku baru dan dari kepemimpinan baharu, yang pada pendapat ahli, mampu menguruskan tugas berat bagi menjadikan parti hebat sekali lagi," katanya ketika dihubungi.

Masidi berkata, berita mengenai Tengku Razaleigh, 81, yang juga dikenali sebagai Ku Li menawarkan diri bertanding jawatan presiden UMNO, menunjukkan parti itu akhirnya mengamalkan demokrasi apabila membenarkan ahli bertanding apa juga jawatan dalam parti.

Katanya, ia adalah pertandingan sihat berbanding amalan sebelum ini apabila jawatan tertinggi dibiarkan tidak dipertandingkan hanya untuk mengekalkan perpaduan parti sehingga menyukarkan mana-mana ahli berkelayakan untuk menjadi calon.

"Membenarkan pertandingan untuk jawatan paling tinggi adalah bukti kepada kematangan politik ahli-ahlinya, yang semakin yakin bahawa pertandingan terbuka tidak membawa perpecahan.

"Sebaliknya, ia akan memperkukuh UMNO dan menyelamatkan parti daripada kemungkinan menjadi tidak relevan dalam menghadapi landskap politik yang berubah dengan cepat di peringkat kebangsaan dan global," katanya.

Tengku Razaleigh hari ini mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan presiden UMNO selepas mengambil kira pelbagai isu dalam parti itu dan melahirkan keyakinan mampu memimpin UMNO sebagai pembangkang bertanggungjawab terhadap rakyat.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO Sabah, Shahelmy Yahya, berkata keputusan Tengku Razaleigh sudah dijangka dalam kalangan anggota parti.

"Ia bukanlah cubaan kali pertama Ku Li mahu bertanding dalam jawatan nombor satu, tapi senario sudah berubah selepas PRU-14. Ku Li dilihat sebagai calon terbaik dalam 'angin perubahan' yang diharapkan oleh ahli parti.

"Saya berpendapat percubaan ini akan berjaya dan kami berharap transformasi UMNO dapat dibuat dengan cara yang lebih penting," katanya.

Shahelmy berkata, kepemimpinan baharu itu akan meningkatkan keyakinan ahli dan orang ramai akan kembali percaya bahawa UMNO adalah platform politik yang masih relevan.

Berita Harian X