Sabtu, 16 Jun 2018 | 4:44pm
SETIAUSAHA Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub.
SETIAUSAHA Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub.

Ahmad Zahid perlu beri laluan pada Ku Li - Veteran UMNO

KUALA LUMPUR: Veteran UMNO mendesak Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, jangan bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti itu, hujung bulan ini.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, berkata desakan itu adalah bagi memberi laluan kepada Tengku Razaleigh Hamzah untuk memenangi jawatan tertinggi itu pada pemilihan akan datang.

Sebaliknya, kata beliau, Ahmad Zahid perlu memberi tumpuan untuk menyokong Tengku Razaleigh atau Ku Li, dengan bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Katanya, UMNO memerlukan 'bomoh luar' untuk mengubati parti itu yang kini dilanda krisis keyakinan, terutama dalam kalangan ahlinya dan Ku Li layak kerana beliau berada di luar hieraki pimpinan Majlis Tertinggi (MT) sedia ada.

"Begitulah yang kita mahu (Ahmad Zahid tidak bertanding jawatan Presiden), sebab itu Veteran UMNO Perak menyokong gandingan Ku Li sebagai Presiden dan Ahmad Zahid menjadi Timbalan Presiden.

"Veteran beranggapan untuk menyelesaikan krisis keyakinan dihadapi UMNO ketika ini, kita perlukan bomoh luar atau doktor luar, bomoh di dalam dah tak boleh pakai.

"Ku Li adalah bomoh luar, Ku Li adalah doktor luar," katanya ketika ditemui di kediaman Ku Li di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan akar umbi yang mahu Ahmad Zahid memberi laluan kepada Ku Li untuk mengemudi UMNO bagi memberi nafas baharu kepada parti itu.

Mustapha berkata, situasi sama pernah berlaku ketika pemilihan parti itu berlaku selepas Pengasas dan Presiden UMNO pertama, Datuk Onn Jaafar, meninggalkan parti berkenaan.

"Tun Abdul Razak Hussein ketika itu adalah Timbalan Yang Dipertua (atau Timbalan Presiden ketika ini), tapi pada pemilihan parti, beliau tidak menawarkan diri untuk jawatan Yang Dipertua (atau Presiden ketika ini).

"Sebaliknya, Tun Abdul Razak bertemu dengan Tunku Abdul Rahman supaya beliau mengambil alih jawatan Presiden. 'Teori' sama diguna pakai ketika ini," katanya.

Berita Harian X