Sabtu, 16 Jun 2018 | 3:39pm
PENGERUSI Veteran UMNO Kelantan, Datuk Mohd Rozali Isohak. -Foto Syamsi Suhaimi
PENGERUSI Veteran UMNO Kelantan, Datuk Mohd Rozali Isohak. -Foto Syamsi Suhaimi

Langkah tepat Ku Li tanding Presiden UMNO

KOTA BHARU: Keputusan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti akhir bulan ini adalah langkah tepat bagi membaik pulih parti itu.

Pengerusi Veteran UMNO Kelantan, Datuk Mohd Rozali Isohak, berkata peluang sepatutnya diberikan kepada Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li untuk membetulkan UMNO memandangkan pengalamannya yang luas.

Beliau berkata, kebetulan pula ramai ahli peringkat akar umbi memberi sokongan padu kepada Ku Li bagi menggalas jawatan Presiden UMNO.

"Sesuai sangat jika Ku Li bertanding jawatan Presiden UMNO memandangkan parti ini dalam keadaan 'nazak', tambahan pula beliau mempunyai pengalaman luas dalam politik termasuk pernah berlawan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Malah, beliau juga mempunyai integriti yang baik dan tidak mempunyai masalah seperti orang lain. Veteran UMNO sememangnya memberi sokongan dan harap beliau diberi kemenangan tanpa bertanding bagi jawatan Presiden pada pemilihan parti nanti," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ku Li dalam sidang media hari ini, menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti akhir bulan ini selepas meneliti dan memperhalusi, terutama soal kepemimpinan.

Selain Ku Li, pemangku Presiden merangkap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga dikatakan akan bertanding untuk jawatan itu.

Mengulas lanjut, Mohd Rozali, berharap Ahmad Zahid akan bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden supaya kedua-dua pemimpin ini dapat bergandingan untuk membetulkan semula UMNO.

"Kita juga mahu Ahmad Zahid diberi kemenangan tanpa bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden supaya beliau menjadi satu pasukan dengan Ku Li.

"Bagi (Ketua Penerangan UMNO) Tan Sri Annuar Musa dan (bekas Menteri Besar Negeri Sembilan) Datuk Seri Mohamad Hasan pula diberi jawatan Naib Presiden. Apapun, kita serah kepada ahli untuk menentukannya, namun jika boleh, elakkan pertandingan jawatan tertinggi supaya dapat mengelakkan perpecahan," katanya.

Berita Harian X