Sabtu, 16 Jun 2018 | 3:17pm
VETERAN UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Mahdi Musa.
VETERAN UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Mahdi Musa.

2 pemimpin veteran UMNO Besut tarik diri

JERTIH: Veteran UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Mahdi Musa, mengumumkan tidak mahu dicalonkan pada pemilihan UMNO peringkat bahagian Besut 30 Jun ini.

Idris yang juga bekas Menteri Pendidikan Tinggi, tidak akan mempertahankan jawatan Naib Ketua UMNO Besut manakala Mohd Mahdi akan melepaskan jawatan Timbalan Ketua UMNO bahagian berkenaan.

"Saya tidak akan menawarkan diri bertanding semua jawatan dalam parti peringkat bahagian, sebaliknya akan memberi laluan kepada orang muda menerajui parti," kata Idris yang juga Ahli Parlimen Besut.

Mohd Mahdi, yang gagal mempertahankan kerusi DUN Kota Putera pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), turut menyatakan hasrat untuk berundur daripada politik tetapi tetap terus menyokong UMNO sebagai ahli biasa.

NSTP difahamkan, jawatan Ketua UMNO Besut yang kini disandang ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad akan dicabar Ahli Jawatankuasa bahagian, Ghazali Che Noh, yang juga seorang aktivitis masyarakat.

Bagi jawatan Timbalan Ketua pula, ADUN Jertih , Datuk Muhamad Pehimi Yusof, diberi laluan mudah untuk menyandang jawatan yang dilepaskan Mohd Mahdi manakala laluan mudah menanti ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman untuk jawatan Naib Ketua.

Muhamad Pehimi yang juga Setiausaha Umno bahagian, ketika ditemui hari ini berkata, mesyuarat jawatankuasa UMNO bahagian minggu lalu menerima cadangan Idris dan Mohd Mahdi yang menarik diri daripada bertanding.

"Bagaimanapun, atas dasar keterbukaan parti peringkat bahagian jawatan Ketua UMNO bahagian tetap ada pertandingan antara Nawi dan Ghazali.

"Saya berharap semua ahli parti peringkat bahagian menerima keputusan dua bekas pemimpin yang tidak lagi menawarkan diri untuk bertanding sebaliknya mereka akan terus kekal menjadi ahli biasa dan menyokong kepemimpinan yang dipilih nanti," katanya.

Berita Harian X