Sabtu, 9 Jun 2018 | 8:50am

Ahmad Said tanding Naib Presiden UMNO

KUALA TERENGGANU: Ketua UMNO bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said, buat kali pertama menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden pada Pemilihan UMNO 2018, akhir bulan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu bersetuju bertanding jawatan ketiga tertinggi dalam parti itu bagi membawa perubahan dalam parti susulan kekalahan teruk UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Ahmad yang juga bekas menteri besar Terengganu, mengumumkan hasrat itu pada Mesyuarat Jawatankuasa UMNO bahagian Kemaman semalam yang dipengerusikannya.

Sumber berkata, Ahmad gembira mengumumkan hasratnya itu dan mengharapkan sokongan semua pihak terutama UMNO bahagian Kemaman.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Timbalan Ketuanya yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Bagaimanapun, usaha menghubungi Ahmad untuk mendapatkan maklum balas daripadanya tidak berjawab.

Ahmad menjadi satu-satunya calon di Parlimen Kemaman yang menang dalam PRU-14, yang menyaksikan kekalahan teruk BN kepada Pakatan Harapan (PH) selepas 60 tahun, apabila hanya memenangi 79 dari 222 kerusi Parlimen seluruh negara.

Berita Harian X