Ahad, 3 Jun 2018 | 10:32pm
PEMANGKU Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra dengan para anggota UMNO pada Majlis Berbuka Puasa UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra. - Foto BERNAMA
PEMANGKU Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra dengan para anggota UMNO pada Majlis Berbuka Puasa UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra. - Foto BERNAMA

Zahid sedia tanding jawatan Presiden

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedia bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti.

Naib Presiden UMNO, yang menjalankan tugas Presiden itu berkata, kesediaannya itu membuktikan beliau menyahut cabaran daripada pemimpin UMNO untuk merebut jawatan berkenaan yang dikosongkan Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, ia juga selaras dengan komitmen yang dizahirkannya sebelum ini bersama Naib Presiden UMNO, yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein iaitu semua jawatan tertinggi dalam parti itu terbuka untuk dipertandingkan.

"Siapa yang sedia tanding jawatan Presiden, kita belum tahu sebab belum tutup (penamaan calon) pada 17 Jun. Sekarang, penamaan calon baru dibuka tiga hari.

"Saya dan Hishammuddin tetap berpendirian, semua jawatan dalam parti terbuka untuk dipertandingkan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Majlis Tertinggi UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi parti, antaranya Pengerusi Biro Agama, Datuk Seri Jamil Baharom ; Pengerusi Biro Kebajikan, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Seri Noh Omar.

Mereka yang hadir turut solat Maghrib, diikuti solat Isyak dan Tarawih.

Berita Harian X