Sabtu, 19 Mei 2018 | 2:11pm
GAMBAR fail, Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya P137, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam (tengah) ketika sidang media pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) di SK Dato Demang Hussin, Bukit Katil pada 9 Mei lalu. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
GAMBAR fail, Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya P137, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam (tengah) ketika sidang media pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) di SK Dato Demang Hussin, Bukit Katil pada 9 Mei lalu. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

UMNO Melaka cadang 3 jawatan tak dipertandingkan

KUALA LUMPUR: UMNO Melaka mencadangkan tiga jawatan tertinggi parti iaitu presiden, timbalan presiden dan satu daripada tiga jawatan naib presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Rustam, berkata UMNO negeri turut mencadangkan tiga nama bagi mengisi jawatan itu iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi jawatan presiden, manakala Datuk Seri Hishammuddin Hussein (timbalan presiden) dan Khairy Jamaluddin (naib presiden).

Mohd Ali yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, berkata jawatan lain pula bebas untuk dipertandingkan selain menggalakkan muka baharu untuk menawarkan diri khususnya di peringkat cawangan, bahagian dan sayap parti.

"Oleh kerana kita nak parti kembali kuat, UMNO negeri tidak mahu pertandingan bagi jawatan presiden, timbalan presiden dan satu jawatan naib presiden.

"Ahli parti perlu memberi sokongan kuat kepada mereka bertiga kerana dalam keadaan mencabar ini, UMNO perlu ada nakhoda supaya boleh bergerak ke depan dan dipulihkan.

"Kita perlu ingat, UMNO sudah jadi parti pembangkang dan kita perlu kukuhkan rumah tangga kita," katanya ketika ditemui di Menara Dato' Onn di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Ali hadir ke ibu pejabat UMNO itu bersama pimpinan UMNO negeri, antaranya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Dr Idris Haron dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Mohd Ali berkata, pimpinan UMNO Melaka bertemu dengan Ahmad Zahid, Hishammuddin dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagi membincangkan perjalanan mesyuarat peringkat cawangan bermula hari ini.

"Kita serahkan kepada akar umbi untuk membawa apa jua usul untuk dibincangkan bagi memperkukuhkan lagi parti khususnya untuk pemilihan jawatankuasa baharu di cawangan dan sayap.

"Kami harap lebih ramai generasi muda menyertai barisan kepemimpinan sama ada di peringkat sayap atau cawangan bagi menyuburkan lagi parti.

"Kita perlu membuka pintu kepada pimpinan baharu yang berwibawa, ikhlas, setia, jujur dan sentiasa berjuang untuk parti," katanya.

Mohd Ali turut menegaskan beliau tidak bercadang untuk bertanding pada pemilihan parti akan datang dan bersedia jika UMNO Bahagian Bukit Katil mahu menggantikannya dengan pemimpin baharu.

Berita Harian X