Isnin, 14 Mei 2018 | 4:40pm
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan watikah perlantikan kepada Datuk Teng Chang Khim diMajlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Dan Ikrar Aku Janji Serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor di Balairung Istana Alam Shah. - Foto Roslin Mat Tahir
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan watikah perlantikan kepada Datuk Teng Chang Khim diMajlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Dan Ikrar Aku Janji Serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor di Balairung Istana Alam Shah. - Foto Roslin Mat Tahir

EXCO Selangor dititah jalankan tanggungjawab sebaiknya

KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah supaya EXCO Kerajaan Negeri yang dilantik dapat bekerjasama dan menjalankan tugas berpandukan peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.

Baginda bertitah, semua EXCO dan wakil rakyat yang sudah dilantik pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu hendaklah bermuafakat dan jujur berbincang bersama Menteri Besar supaya setiap masalah dihadapi rakyat dapat ditangani dengan baik.

"Luahkan pendapat dan pandangan dengan jujur supaya masalah yang dihadapi rakyat dapat ditangani demi kesejahteraan negeri dan rakyat.

"Jauhkan diri dari rasuah yang mana gejala ini akan menjatuhkan maruah dan imej seseorang itu, dan juga boleh merosakkan imej negeri Selangor, rakyat juga amat benci dengan pemimpin yang terbabit gejala rasuah," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Akujanji serta Pengurniaan Suratcara Pelantikan EXCO Selangor di Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Turut berangkat menyaksikan istiadat berkenaan, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Sultan Sharafuddin turut berkenan supaya rakyat di Selangor yang terdiri daripada berbilang kaum dapat hidup harmoni, bersatu padu, mengamalkan sikap tolak ansur dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

"Rakyat berbilang kaum mestilah menanamkan semangat untuk bekerjasama bagi membina negeri Selangor yang dikasihi ini untuk generasi akan datang.

"Ahli Yang Berhormat dipilih oleh rakyat yang penuh harapan, janganlah selepas dipilih Ahli Yang Berhormat melupakan kawasan pilihan raya dan langsung tidak meninjau akan nasib rakyat yang memilih mereka," titahnya.

Baginda juga bertitah tidak akan mencampuri dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri selagi ia berjalan dengan lancar dan sempurna.

"Bagaimanapun, sekiranya nasib rakyat tidak dibela dan alam sekitar tidak dijaga serta pembangunan tidak seimbang, Beta akan gunakan kuasa yang ada pada Beta untuk menegur bagi memperbetulkan pentadbiran supaya Selangor ditadbir dengan baik lagi saksama untuk rakyat," titahnya.

Berita Harian X