Khamis, 10 Mei 2018 | 1:41pm
DATUK Seri Ahmad Shabery Cheek gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman. - BERNAMA
DATUK Seri Ahmad Shabery Cheek gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman. - BERNAMA

Seorang menteri, enam exco kalah di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Kejutan berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Terengganu apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kalah kepada calon PAS bagi kerusi Parlimen Kemaman.

Kerusi itu dimenangi calon PAS, Che Alias Hamid dengan majoriti 2,163 undi dalam saingan tiga penjuru selepas memperolehi 39,878 undi.

Ahmad Shabery yang menyandang kerusi itu selama tiga penggal mendapat 37,715 undi manakala calon PKR, Mohd Huzaifah Md Suhaimi pula hanya meraih 12,911 undi.

Enam exco yang kecundang pada PRU-14 termasuklah Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee yang bertanding untuk kerusi Parlimen Setiu.

Beliau yang sebelum ini menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri kalah kepada calon PAS, Shaharizukirnain Abd Kadir.

Selain Mohd Jidin, exco lain yang gagal mempertahankan kerusi masing-masing adalah Exco Perindustrian dan Perdagangan negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang di kerusi DUN Kuala Berang serta Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman (DUN Kemasik).

Selain itu Exco Pendidikan, Sains, Teknologi Dan Transformasi Kerajaan negeri, A Latiff Awang (DUN Pengkalan Berangan) dan Exco Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud (DUN Bukit Besi).

Lebih mengecewakan apabila Exco Komunikasi, Multimedia Dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib hanya tewas dengan majoriti empat undi di kerusi DUN Ajil kepada calon PAS, Maliaman Kassim yang memperolehi 8,132 undi.

Bagaimanapun, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berjaya mengekalkan kerusi yang disandang di DUN Seberang Takir selepas menang dengan mendapat 9,340 undi mengalahkan calon PAS, Mohd Fazil Wahab (7,456 undi) dan calon PKR, Abu Bakar Abdullah (939 undi).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh juga berjaya mengekalkan kerusi disandangnya di Parlimen Besut.

Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said juga berjaya mengekalkan kerusi disandangnya di DUN Kijal.

Pengerusi pakatan pembangkang di Terengganu pula, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang bertanding di Parlimen Kuala Terengganu dan DUN Batu Buruk kalah di kedua-dua kerusi berkenaan kepada calon PAS, Amzad Hashim dan anak Presiden PAS yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Pengerusi PKR Terengganu yang juga penyandang kerusi DUN Bandar, Azan Ismail kalah kepada calon PAS, Ahmad Shah.

Berita Harian X