Selasa, 8 Mei 2018 | 9:27pm
CALON Melayu tunggal DAP di Perak, Dr Abdul Aziz Bari
CALON Melayu tunggal DAP di Perak, Dr Abdul Aziz Bari

Aziz Bari terkejut tindakan harakiri Amran Ahmad

IPOH: Calon Melayu tunggal DAP di Perak, Dr Abdul Aziz Bari enggan mengesah atau menafikan tindakan parti itu meletaknya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memenuhi hasrat mereka untuk merebut jawatan Menteri Besar Perak jika pakatan pembangkang menang di negeri ini.

Calon DUN Tebing Tinggi itu sebaliknya memberi alasan perkara itu terlalu awal untuk diperkatakan ketika ditanya mengenai 'minat' DAP untuk merebut jawatan itu.

"Kita (pakatan pembangkang) tiada persetujuan atau keputusan mengenai jawatan Menteri Besar itu kecuali keputusan kedudukan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sahaja.

"Ia hanya spekulasi dan bahan lawak di mana dalam politik ini semua suka berjenaka, berlawak termasuk ingin jadi Perdana Menteri pun ada tetapi bukanlah satu benda serius yang dibincangkan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Abdul Aziz diminta mengulas pendedahan ahli seumur hidup DAP, Amran Ahmad, bahawa beliau menyedari komplot DAP berhasrat menuntut jawatan Menteri Besar Perak jika pakatan pembangkang menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas menerima e-mel pada 6 April lalu.

Penolong Penerbit UbahTV iaitu laman televisyen rasmi dalam talian DAP itu mendakwa, menerusi e-mel itu, Abdul Aziz mengesahkan perkara ini, dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming bersetuju DAP mengambil kerusi Menteri Besar.

Beliau turut mendakwa bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang bertanding atas tiket PKR di DUN Sungai Rapat bukan lagi calon pilihan DAP, sekaligus bertentangan dengan apa yang diperkatakan veteran DAP, Lim Kit Siang, bahawa parti itu tidak akan merebut jawatan berkenaan jika menawan Perak.

Mengulas dakwaan Amran itu, Abdul Aziz menafikan ada menghantar e-mel berkenaan, sebaliknya mendakwa e-mel didedahkan Amran itu mungkin dipalsukan.

"Saya tidak hantar email membincangkan soal seperti itu dengan dia (Amran), jadi zaman sekarang ini macam-macam orang boleh klon atau palsukan kalau nanti dia nak balas soal ketulenan e-mel itu pun saya tidak mahu layan," katanya.

Abdul Aziz berkata, beliau sendiri terkejut dengan pendedahan dibuat Amran kerana sebelum pendedahan dibuatnya, beliau (Amran) hanya melahirkan rasa tidak selesa kerana tidak menjadi calon.

"Saya ingatkan bila dia (Amran) melahirkan rasa tidak selesa kerana tidak menjadi calon hanya sekadar itu sahaja, dan saya tidak terfikir hingga ke tahap ini kerana dia seorang anak kepada tokoh besar DAP, Ahmad Nor.

"Tergamak dia melakukan perkara yang merosakkan legasi dan imej hebat arwah bapanya, dan saya sangat terkejut dengan dakwaannya serta sikapnya yang sebegitu 'harakiri'," katanya.

Berita Harian X