Sabtu, 5 Mei 2018 | 3:47pm
MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (empat dari kiri) beramah mesra dengan kanak-kanak ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Jambatan Guai ke Kampung Seberang Guai dan Jamuan Rakyat di Kampung Guai. - Foto Nazirul Roselan
MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (empat dari kiri) beramah mesra dengan kanak-kanak ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Jambatan Guai ke Kampung Seberang Guai dan Jamuan Rakyat di Kampung Guai. - Foto Nazirul Roselan

Masyarakat luar bandar kekal sokong BN

BERA: Masyarakat luar bandar kekal menyokong Barisan Nasional (BN) walaupun pakatan pembangkang diketuai DAP memperkudakan Tun Dr Mahathir Mohammad sebagai pemimpin utamanya.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pencaturan DAP meletakkan Dr Mahathir untuk mendapat sokongan masyarakat luar bandar yang menjadi antara faktor kekalahan pembangkang dalam dua pilihan raya umum sebelum ini diyakini menemui kegagalan.

"Masyarakat luar bandar ada nilai budaya tidak pernah berubah walaupun negara semakin moden seperti bersyukur dengan nikmat kini dan berterima kasih dengan segala usaha kerajaan membangunkan luar bandar.

"Mereka memahami transformasi dilakukan kerajaan mengubah kehidupan mereka kepada lebih baik, saya yakin mereka tidak terpengaruh dengan janji-janji pembangkang," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Jambatan Guai ke Kampung Seberang Guai dan Jamuan Rakyat di Kampung Guai, dekat sini, hari ini.

Ismail Sabri yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Bera, berkata masyarakat luar bandar juga menolak parti Melayu dalam pakatan pembangkang kerana sedar ia hanya menjadi alat DAP.

"Tsunami Melayu pada pilihan raya umum kali ini bukan ke arah pembangkang tetapi terbalik kepada BN sebab rakyat tahu mereka tidak boleh sokong parti menjadi kuda tunggangan DAP," katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, masyarakat luar bandar harus mengambil iktibar terhadap kegagalan kerajaan negeri ditadbir parti selain BN dalam melaksanakan pembangunan di kawasan mereka dan tugas itu dilaksanakan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

"Di Selangor contohnya, sekecil-kecil jalan dibuat oleh KKLW walaupun setiap negeri ada exco bertanggungjawab dalam hal ehwal luar bandar...sepatutnya mereka buat sama, takkan jalan bawah RM50,000 tidak boleh buat.

"Inilah gambaran untuk masyarakat luar bandar sekiranya mereka (pembangkang) berkuasa di peringkat negeri, saya harap di peringkat negeri pun sokong BN supaya kelangsungan pembangunan dapat diteruskan," katanya.

Beliau berkata, pemimpin pembangkang seperti Dr Mahathir tidak mempunyai agenda khas untuk luar bandar kerana mereka hanya mementingkan hasrat menjayakan cita-cita peribadi termasuk membalas dendam terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditubuhkan untuk menjatuhkan Dr Mahathir dan membela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Parti Amanah Negara (PAN) pula diwujudkan kerana kumpulan pro Mat (Mohamad) Sabu kalah dalam pemilihan PAS.

"Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pula juga ditubuhkan atas dasar peribadi, Dr Mahathir kecewa dengan Najib kerana anaknya (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) kalah dalam pertandingan Naib Presiden UMNO manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin pula digula-gulakan Dr M untuk menjadi Perdana Menteri.

"Tiada agenda untuk mensejahterakan masyarakat luar bandar dan perkasakan Islam...dalam ucapannya ketika melancarkan manifesto pakatan pembangkang, lebih 80 kali Dr Mahathir sebut nama Najib yang membuktikan agenda peribadinya hanya untuk membalas dendam terhadap Perdana Menteri," katanya.

Berita Harian X