Sabtu, 5 Mei 2018 | 2:57pm
CALON Pakatan Pembangkang Parlimen Seremban, Loke Siew Fook menunjukkan gambar ribuan rakyat yang hadir di Jelajah Pakatan Harapan yang bertempat di Melaka tempoh hari ketika bercakap pada sidang media di pejabat PKR NS, Jalan Rahang, Seremban. - Foto Adzlan Sidek
CALON Pakatan Pembangkang Parlimen Seremban, Loke Siew Fook menunjukkan gambar ribuan rakyat yang hadir di Jelajah Pakatan Harapan yang bertempat di Melaka tempoh hari ketika bercakap pada sidang media di pejabat PKR NS, Jalan Rahang, Seremban. - Foto Adzlan Sidek

DAP pergunakan pemimpin pembangkang Melayu raih sokongan

SEREMBAN: DAP cuba meraih sokongan pengundi Melayu bagi tempoh hari pengundian yang berbaki empat hari lagi, dengan 'mempergunakan' Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin Melayu pakatan pembangkang.

Ia jelas dilihat melalui program parti berkenaan yang menggunakan Dr Mahathir dan semua pemimpin Melayu dalam tiga parti sekutunya, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) untuk menarik sokongan pengundi Melayu dalam skala besar.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Loke Siew Fook, berkata program yang dihadiri pemimpin tertinggi pakatan pembangkang berkenaan berjaya menarik kehadiran penyokong dalam kalangan pengundi Melayu.

"Setiap ceramah dihadiri Tun M (Dr Mahathir), Kak Wan (Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail), Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mat Sabu (Mohamad Sabu), begitu ramai yang datang.

"Satu fenomena jelas apabila ceramah yang dihadiri Tun M, majoriti 70 peratus pengundi Melayu yang hadir," katanya pada sidang media di Pejabat PKR Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Siew Foke yang juga calon bagi kerusi Parlimen Seremban berkata, pihaknya merancang membawa Dr Mahathir buat kali ketiga ke negeri ini sebelum hari pengundian tiba, namun tidak dapat berbuat demikian kerana kekangan masa Pengerusi PPBM terbabit.

Berikutan itu, beliau membawa pula Dr Wan Azizah dan Azmin untuk menghadiri program ceramah yang diadakan di negeri ini esok dan Isnin ini untuk terus menarik sokongan Melayu.

"Dalam masa berbaki empat hari akan datang (hari mengundi), kita akan sedaya upaya meyakinkan ramai orang. Kita yakin kehadiran Azmin akan beri suntikan besar kepada P128 (Parlimen Seremban) untuk membantu menarik ramai sokongan, khususnya pengundi Melayu.

"Itu sebabnya kita memilih untuk mengadakan program di Paroi Jaya kerana ia tempat strategik pengundi Melayu. Kita juga sedang mengatur beberapa program lain sehinggalah hari terakhir kempen," katanya.

Dr Wan Azizah dijangka menghadiri program yang diadakan pakatan pembangkang esok, manakala Azmin dijangka menghadiri program sama pada Isnin.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam kenyataannya berkata, DAP diyakini bukan saja memperkudakan Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi semua pemimpin Melayu dalam pakatan pembangkang.

Beliau berkata, melalui cara menggunakan pemimpin Melayu dalam tiga parti sekutunya, DAP berangan mampu memperoleh sokongan Melayu dalam skala besar demi merealisasikan hasrat menawan Putrajaya.

Berita Harian X