Selasa, 1 Mei 2018 | 3:36pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Kenduri Kampung di Kampung Pasang Api, Bagan Datuk, hari ini. - Foto Aizuddin Saad
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Kenduri Kampung di Kampung Pasang Api, Bagan Datuk, hari ini. - Foto Aizuddin Saad

Tolak kempen politik maki hamun: Zahid

BAGAN DATUK: Kempen maki hamun dan politik kekerasan yang digunapakai pembangkang seharusnya ditolak pengundi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, ini kerana cara kempen yang seumpama itu adalah langkah yang cukup terdesak pembangkang untuk meraih undi.

"Itu pastinya taktik terdesak (pembangkang) kerana saya fikir mereka sudah menghidu momentum Barisan Nasional (BN) sudah semakin meningkat.

"Peningkatan ini disebabkan oleh manifesto BN yang mempunyai titik sentuhan serta faktor 'wow' sudah dihidangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kenduri Kampung di Kampung Pasang Api, dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal akhbar tempatan berhubung kegagalan pemimpin veteran DAP untuk mengawal dan mengambil tindakan tegas terhadap Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan Ketua DAP Bahagian Teluk Intan, Hew Kuan Yau yang menggunakan kata-kata kesat, kasar serta menghina Melayu dalam beberapa ceramah mereka sebelum ini.

Tindakan kedua-dua tokoh DAP itu memperlihatkan seolah-olah ia direstui pimpinan tertinggi DAP.

Ahmad Zahid berkata, sikap dan tindakan Kor Ming memang sudah dikenali angkuh dan memaki hamun dalam ceramahnya.

"Semua orang kenal dengan cara dia (Kor Ming) dulu di Taiping, sekarang datang ke sini (Teluk Intan).

"Saya fikir orang Teluk Intan tahu prestasi Datuk Seri Mah Siew Keong (penyandang Parlimen Teluk Intan) kerana beliau adalah orang tempatan, semasa kalah dulu pun beliau tidak tidur di rumah tetapi terus memberikan perkhidmatan sehinggalah pilihan raya kecil.

"Bila beliau menang dan dilantik sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, beliau meneruskan tugas dan tanggungjawab dengan baik," katanya.

Tamat

Berita Harian X