Sabtu, 28 April 2018 | 3:32pm
DARI kiri, calon BN, Genot @ Jeannoth Sinel, Willie Mongin (PKR) dan Buln Ribos (STAR) diumumkan layak bertanding di Parlimen Puncak Borneo di Pejabat Daerah Kecil Siburan, hari ini. Gambar kecil, Bego Sepop menarik diri pada saat akhir. - Foto Mohd Latif Ahmad
DARI kiri, calon BN, Genot @ Jeannoth Sinel, Willie Mongin (PKR) dan Buln Ribos (STAR) diumumkan layak bertanding di Parlimen Puncak Borneo di Pejabat Daerah Kecil Siburan, hari ini. Gambar kecil, Bego Sepop menarik diri pada saat akhir. - Foto Mohd Latif Ahmad

Tarik diri saat akhir elak perpecahan Dayak

PADAWAN: Kerusi Parlimen Puncak Borneo menyaksikan persaingan tiga penjuru selepas calon Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), Bego Sepop menarik diri pada saat akhir bertanding di kawasan majoriti suku Bidayuh itu.

Tiga calon yang bertanding disahkan bertanding adalah mewakili Barisan Nasional (BN), Genot @ Jeannoth Sinel selain PKR (Willie Mongin) dan Buln Ribos dari Parti Reformasi Negeri (STAR).

Ia diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ranum Bari di Pejabat Daerah Kecil Siburan, di sini sejurus pusat penamaan calon ditutup.

Bego ketika ditemui sejurus selepas itu memaklumkan tindakannya menarik diri itu adalah bagi mengelak berlakunya pertandingan banyak penjuru di kerusi berkenaan.

"Saya anak Bidayuh dari Puncak Borneo. Sebab itu, saya tidak mahu terlalu banyak pertandingan demi menjaga perpaduan masyarakat Dayak di kawasan ini yang mungkin boleh berpecah disebabkan sokongan kepada parti politik masing-masing," katanya.

Bego yang juga seorang saintis, pensyarah dan perunding patologi memberitahu keputusannya itu turut mendapat `restu' Presiden PBDSB, Cobbold John dan Pengarah Pilihanraya PBDSB, Rapelson Richard Amit.

"Ini keputusan saya sendiri tanpa pengaruh sesiapa dan pucuk pimpinan menghormatinya. Saya berharap Parlimen Puncak Borneo mendapat wakil rakyat yang selayaknya untuk mewakili masyarakat di sini," katanya.

Parlimen Puncak Borneo merangkumi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Mambong, Tarat dan Serembu yang masing-masing diwakili oleh Datuk Dr Jerip Susil, Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Miro Simuh - semuanya dari BN.

Kerusi itu sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Dr James Dawos Mamit yang juga Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, namun meminta tidak dicalonkan semula dalam PRU14 atas faktor kesihatan.

Berita Harian X