Jumaat, 27 April 2018 | 11:23am
GAMBAR fail, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (kiri) mendengar taklimat mengenai plan pembangunan Pantai Murni daripada Ahli Parlimen Jerai merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (kanan) ketika hadir untuk bersarapan pagi bersama penduduk setempat di Pantai Murni, Yan pada 26 Mac lalu. - Foto Sharul Hafiz Zam

Belia mahu Jerai terus di bawah BN

YAN: Dalam usaha memastikan lebih banyak lagi pembangunan dilaksanakan di Parlimen Jerai serta nasib belia terus mendapat perhatian kerajaan, golongan itu mengharapkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) untuk menerajui kawasan Parlimen itu sekali gus negeri Kedah.

Rata-rata wakil persatuan belia di kawasan Parlimen Jerai menyatakan kepada Bernama bahawa golongan itu menginginkan kemajuan dan manfaat lain untuk penduduk setempat selain sudah selesa dengan wakil rakyat sedia ada daripada parti itu kerana mudah didekati bagi meminta sebarang pertolongan melibatkan permasalahan belia di daerah ini.

Pengerusi Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kawasan Jerai, Mohd Hafiz Abu Hassan berkata, penyandang kerusi Parlimen Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharom adalah pemimpin yang mudah ditemui bagi menceritakan sebarang masalah berkaitan golongan itu.

"Bantuan pentadbiran persatuan belia turut disalurkan oleh Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Begitu juga dengan bantuan berkaitan untuk pendidikan seperti kalau ada penduduk nak hantar anak mereka masuk universiti, tetapi tidak ada kereta, mereka boleh datang pinjam van yang diperuntukkan untuk kegunaan Parlimen Jerai ini," katanya.

Selain itu, Mohd Hafiz berkata, di bawah kepimpinan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, pembangunan infrastruktur sukan turut diberikan perhatian beliau antaranya terdapat perancangan membina mini stadium di Kampung Keda, Sungai Udang di sini selain kemudahan kemahiran belia iaitu GIATMARA Jerai di sini yang telah pun siap sepenuhnya.

Bangunan baharu GiatMARA Jerai yang telah dirasmikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 1 Feb lalu, dengan kos sebanyak RM8.1 juta atas tapak seluas dua hektar di di Simpang 4, Jalan Titi Hayun, Yan. Pembinaan GiatMARA akan memberi kelebihan kepada golongan belia di kawasan Parlimen Jerai untuk meningkatkan lagi tahap pendidikan dan kemahiran. Antara kursus yang ditawarkan adalah seperti Kursus Pendawaian Elektrik, Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara, Fesyen dan Dressmaking dan Industrial Maintenance. - Foto BERNAMA

"Kami belia dan anak muda di Parlimen Jerai ini menyokong penuh Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai calon Ahli Parlimen Jerai (PRU14), Ketua Bahagian dan Menteri," katanya.

Berkongsi pendapat sama, Pengerusi Majlis Belia Daerah (MBD) Yan Razeff Shardin Mat Rejab berkata peranan BN yang diwakili wakil rakyat itu sememangnya memberikan impak sangat baik kepada penduduk setempat termasuk golongan belia di kawasan Parlimen itu.

"Kompleks Sukan (mini stadium) di Kampung Keda, Sungai Udang seperti yang telah diumumkan KJ (Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin) Februari lalu sangat memberikan manfaat kepada semua. Semua ini sangat sesuai untuk kemajuan di Yan sebagai daerah pelancongan...jadi saya harap Parlimen Jerai terus berada di bawah pimpinan BN," katanya.

Katanya, beliau juga tertarik dengan projek jalan sambungan dari Lebuh raya Utara-Selatan (PLUS) Gurun ke Pulau Bunting bernilai RM226 juta serta pembinaan Masjid Terapung Jerai di Pantai Murni di sini yang melibatkan kos RM18 juta kerana ia boleh merancakkan lagi aktiviti pelancongan di daerah ini sekali gus dapat menggalakkan belia menambah pendapatan dengan cara berniaga.

"Cadangan tambahan untuk masa depan adalah supaya diadakan kawasan riadah untuk para belia dan ibu bapa di Parlimen Jerai seperti tempat joging dan taman mainan," katanya.

Malah, Razeff Shardin berkata MBD Yan turut mendapat sokongan baik daripada penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Chempedak di bawah Parlimen Jerai iaitu Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail dalam semua program termasuk dari segi moral dan kewangan.

Dalam pada itu, Pengerusi Belia 4B Jerai Mahadzir Muhamad Radhi pula berkata keperluan belia di daerah ini selalu mendapat perhatian calon kerusi Parlimen Jerai itu apabila wakil rakyat berkenaan sentiasa mudah untuk memberikan sebarang sokongan berkaitan sama ada bagi mendapatkan pekerjaan, pendidikan ataupun bantuan perniagaan.

"Sepanjang pengalaman saya bersama Datuk Seri Jamil Khir ini, beliau juga mudah tolong orang kampung. Kalau ada anak sapa-sapa nak mengaji masuk universiti duit tak ada, pasti datuk akan hulurkan bantuan kewangan tersebut, tetapi kena bawa surat tawaran melanjutkan pengajian itu sebagai bukti, untuk elak ada orang tipu ambil kesempatan," katanya.

Beliau berkata, sekiranya BN terus diberikan mandat mewakili Parlimen itu dalam kerajaan selepas PRU14, diharapkan dapat diwujudkan lebih banyak lagi kemudahan perniagaan terutama menyediakan tempat khusus yang strategik untuk belia di situ berniaga dalam usaha membantu golongan berkenaan meningkatkan pendapatan mereka.

Pada 24 April lepas Pengerusi BN negeri merangkap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengumumkan calon Barisan Nasional bagi 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi DUN pada PRU14 yang diadakan 9 Mei ini. - BERNAMA

Berita Harian X