Khamis, 26 April 2018 | 7:27pm
PENGERUSI Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad.- Foto BERNAMA
PENGERUSI Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad.- Foto BERNAMA

Tun M hanya untungkan DAP

KUALA LUMPUR: DAP kian terdesak apabila sanggup bersekongkol dengan bekas seteru politiknya, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai helah parti cauvinis Cina itu untuk memancing undi orang Melayu.

Penganalisis politik, Dr Ainul Adzellie Hasnul, berkata kehadiran Dr Mahathir dalam kem pakatan pembangkang yang diterajui DAP, cuma menguntungkan parti itu untuk meneruskan survival politik mereka di negara ini menerusi sokongan orang Melayu.

Beliau berkata, DAP mengambil peluang yang terhidang itu dengan menggunakan 'khidmat' Dr Mahathir untuk mempengaruhi orang Melayu sehingga memecah-belahkan undi Melayu pada PRU nanti.

"DAP cuma mengambil kesempatan daripada Dr Mahathir yang marah dengan (Datuk Seri) Najib (Razak). Kita boleh lihat sebelum ini Dr Mahathir pernah label DAP ini adalah parti anti-Melayu dan anti-Islam, tetapi kini sekapal pula.

"Dan apabila Dr Mahathir buat pusingan U, DAP pun manfaatkan peluang daripada kemarahan Dr Mahathir demi kelangsungan politik mereka. Memang DAP menggunakan 'kepakaran' Dr Mahathir untuk meraih undi orang Melayu.

"Sudah pastilah DAP akan untung. Kita boleh lihat sentimen orang Melayu terhadap parti itu amat menebal dan DAP tidak boleh 'hidup'. Jadi bila Dr Mahathir masuk (pakatan pembangkang), mereka boleh bernyawa semula," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa Dr Mahathir sebenarnya diperkudakan DAP hanya untuk memecah-belahkan undi Melayu pada PRU-14.

Dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi Twitter, Najib berkata, tindakan yang dilakukan itu seolah-olah DAP mahu kelihatan baik terhadap masyarakat Melayu sambil mempertikaikan keikhlasan DAP adakah mereka ini betul-betul baik kepada orang Melayu dan Islam.

Najib juga pernah membidas DAP apabila parti itu menunjukkan belangnya dengan mengumumkan dua ahli sebagai calon menteri Kabinet walhal ianya adalah kuasa mutlak Perdana Menteri dan bukannya Lim Guan Eng.

"Kenapa bukan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) yang umum, bukan calon PM (Perdana Menteri) mereka? Jelas parti yang mana yang sebenarnya pegang kuasa dalam Pakatan Harapan, yang lain itu pak turut saja," katanya.

"Hakikatnya, mana ada? DAP ini baik ke kepada Melayu, kepada Islam? Dr Mahathir sendiri cakap DAP anti-Melayu dan anti-Islam #CakapTakSerupaBikin," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan, berkata memang tidak dapat dinafikan apabila DAP secara helahnya mempergunakan Dr Mahathir hanya untuk meraih undi Melayu kerana DAP akur stigma parti itu yang anti-Melayu.

Katanya, mengapa dikatakan DAP perkuda Dr Mahathir adalah setiap keputusan pakatan pembangkang nampak gaya memihak DAP terutama dalam hal pembahagian kerusi.

"Tidak menjadi hal jika Dr Mahathir perguna DAP untuk kepentingan politik Melayu tetapi nampak gayanya memang Dr Mahathir perguna DAP tapi hanya untuk penuhi agenda politik beliau yang cenderung kepada kepentingan peribadi," katanya.

Berita Harian X