Selasa, 24 April 2018 | 9:15pm
MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman semasa sidang media pada majlis sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kuala Nerus Kali ke-2 Tahun 2018 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak. - Foto Ghazali Kori
MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman semasa sidang media pada majlis sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kuala Nerus Kali ke-2 Tahun 2018 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak. - Foto Ghazali Kori

Tak layan protes dan rayuan - Ahmad Razif

KUALA NERUS: Barisan Nasional (BN) Terengganu tidak akan melayan rayuan atau permohonan daripada mana-mana pihak berhubung calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata calon sudah dimuktamadkan dan BN tidak akan terikut-ikut dengan permohonan atau rayuan daripada mana-mana pihak.

Katanya, calon yang dinamakan untuk bertanding pada PRU-14 ini adalah yang terbaik selepas melalui proses pemilihan ketat oleh parti di peringkat Pusat.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, beliau difahamkan parti di peringkat Pusat menjalankan kajian selama empat tahun sebelum calon yang disenaraikan untuk bertanding dalam PRU-14 ini dimuktamadkan.

"Saya difahamkan bahawa kajian dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri selama empat tahun untuk melihat keyakinan rakyat dan mereka ini (calon yang terpilih) adalah yang benar-benar berkhidmat dan diterima baik oleh rakyat.

"Kita sudah muktamad dengan keputusan senarai calon ini kerana penilaian dibuat daripada banyak segi dan kita tidak akan terikut dengan apa saja permohonan atau rayuan daripada mana-mana pihak," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kuala Nerus Kali Ke-2 2018 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini, hari ini.

Ahmad Razif mengulas mengenai protes sebahagian ahli UMNO bahagian Kemaman terhadap pemilihan bekas EXCO dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Datuk Mohamad Awang Tera sebagai calon kerusi DUN itu pada PRU kali ini.

Beliau berkata, BN negeri yakin dengan keputusan pucuk pimpinan parti dan calon yang diketengahkan pada PRU kali ini mampu menyumbang kemenangan besar buat parti itu.

"Ia tak menjadi isu pun (pemilihan Mohamad Awang). Mereka ini protes sebab mereka rasa masih ada ruang untuk protes sebelum penamaan calon pada 28 April ini.

"Itu terpulang pada mereka (protes), tetapi saya selaku Pengerusi BN negeri mendapat mandat daripada Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak dan hingga kini tidak ada pertukaran calon akan dibuat," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai pengguguran Ahli Parlimen Hulu Terengganu yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari bagi kerusi Parlimen itu, Ahmad Razif berkata, ia adalah keputusan BN Pusat.

"Jadi saya terima apa keputusan (parti). Adalah sebabnya keputusan itu dibuat. Pemimpin yang datang dan pergi itu biasa, tetapi yang paling penting ialah kita kekalkan kuasa kerajaan BN," katanya.

Pengumuman calon BN Terengganu oleh Ahmad Razif pada Ahad lalu mengundang kejutan ramai apabila Jailani yang juga Ketua UMNO bahagian digugurkan daripada menjadi calon pada PRU-14.

Berita Harian X