Ahad, 22 April 2018 | 2:05pm

Persefahaman PPBM, DAP diragui

KLUANG: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, meragui persefahaman antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) khususnya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan DAP.

Hishammuddin berkata, ia berikutan tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menamakan dua calon DAP sebagai menteri Kabinet jika menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tanpa berunding terlebih dahulu dengan pemimpin terbabit.

"Saya nak tanya Tun Mahathir, persefahaman di antara dia dan DAP ini betul atau tidak?

"Kalau betul dia ikhlas, tidak mungkin Guan Eng akan buat pengumuman bahawa wakil DAP boleh diletakkan dalam jemaah menteri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Guan Eng mengangkat Pengerusi DAP Perak yang juga penyandang Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming dan Liew Chin Tong mengisi jawatan menteri Kabinet jika menang PRU-14.

Hishammuddin berkata, beliau juga meminta Guan Eng bertanya sendiri kepada Tun Mahathir kerana jawatan dalam Kabinet adalah hak mutlak Perdana Menteri.

"Kalau Tun Mahathir berangan-angan menjadi Perdana Menteri sekali lagi, bukan Guan Eng tentukan Kabinet.

"Saya nak tanya Guan Eng kenapa angkuh dan takbur sangat. Kalau betul dia nak Tun Mahathir jadi Perdana Menteri, dia buat pengumuman siapa yang nak diletak dalam jemaah menteri," katanya.

Beliau berkata, persoalannya siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri sekiranya isu berkaitan pelantikan menteri Kabinet juga tidak menunjukkan persefahaman.

"Kalau itupun tidak ada persefahaman, tanya pada mereka sendirilah, tidak masuk akal," katanya.

Beliau juga berkata, timbul tanda tanya antara kedua-dua pihak terbabit kerana ada yang memperkudakan di antara satu sama lain.

"Itulah yang jadi tanda tanya, siapa yang memperkudakan siapa? Kalau dia (Guan Eng) boleh membelakangkan Tun Mahathir, maknanya Mahathir diperalatkan DAP.

"Saya tanya pada Tun Mahathir, kalau dia benarkan diri dia diperalatkan DAP, apa pakatan yang dilaungkan sekarang dan apa nak jadi pada orang Melayu?" katanya.

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Ramah Mesra Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Bersama Pemimpin Parlimen Sembrong di Gelanggang Bola Keranjang, Pekan Kahang, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R Vidyananthan dan Pengarah RELA Negeri Johor merangkap Timbalan Pesuruhjaya RELA, Md Shah Rizal Zainal.

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien disambut oleh anggota pasukan RELA ketika hadir je Majlis Ramah Mesra RELA bersama Pemimpin Parlimen Sembrong di Pekan Kahang, Kluang. - Foto Adnan Ibrahim
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien disambut oleh anggota pasukan RELA ketika hadir je Majlis Ramah Mesra RELA bersama Pemimpin Parlimen Sembrong di Pekan Kahang, Kluang. - Foto Adnan Ibrahim
Berita Harian X