Sabtu, 21 April 2018 | 3:33pm

UMNO ada 'musuh dalam selimut'

KUALA LUMPUR: Blogger Raja Petra Kamaruddin mendakwa ada tokoh UMNO menjadi 'musuh dalam selimut' untuk menjatuhkan Perdana Menteri dan parti itu dari dalam.

Menulis dalam portal Malaysia Today, Raja Petra mendakwa, tindakan itu dapat dibaca menerusi tindakan 16 ahli UMNO memfailkan semakan kehakiman bagi memohon parti itu dibubarkan atas dakwaan gagal mengadakan pemilihan sejak 2013.

Kumpulan itu mendakwa mendakwa kelulusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk UMNO menangguhkan pemilihannya ke tahun depan melanggar perlembagaan parti itu.

Raja Petra berkata, perkara sama pernah dilakukan pada 1988 sehingga menyebabkan UMNO diharamkan dan Presiden UMNO ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, berjaya menyingkirkan Team B dengan mendaftar parti baharu iaitu UMNO Baru.

"Oleh itu, (blogger) Syed Akbar Ali membuat percaturan, jika ia berhasil pada 1988, mengapa tidak langkah itu diulangi selepas 30 tahun untuk mengisytiharkan UMNO sebagai pertubuhan haram? Dengan cara itu, UMNO tidak layak bertanding dalam PRU-14 pada 9 Mei ini," katanya.

Untuk memastikan ia berhasil, Raja Petra mendakwa pemimpin veteran iaitu Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Dr Rais Yatim diarah kekal dalam UMNO untuk menjadi 'musuh dalam selimut' yang mengkritik (Presiden UMNO) Datuk Seri Najib Razak, dari dalam parti.

Sebaik UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi PRU-14, Raja Petra mendakwa, 'musuh dalam selimut' seperti Rafidah dan Rais akan mendesak Najib meletak jawatan.

"Mereka cuba melakukannya pada 2015, tetapi selepas (Datuk Seri) Mukhriz Mahathir dipaksa meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah pada awal Februari 2016, Dr Mahathir merajuk dan keluar daripada UMNO dalam bukan yang sama.

"Mereka kemudian cuba menggulingkan Najib dan UMNO dari luar, namun tidak berjaya. Berikutan itu, Dr Mahathir meminta 'orangnya' supaya tidak meletak jawatan dan kekal dalam UMNO supaya Najib dapat dijatuhkan dari dalam," katanya.

Berita Harian X