Jumaat, 20 April 2018 | 4:19pm
 CALON tunggal Melayu DAP di Perak, Dr Abdul Aziz Bari. - Foto Abdullah Yusof
CALON tunggal Melayu DAP di Perak, Dr Abdul Aziz Bari. - Foto Abdullah Yusof

Aziz Bari tegaskan bukan 'alat' DAP

IPOH: Calon tunggal Melayu DAP di Perak, Dr Abdul Aziz Bari, berkata beliau tidak boleh buat apa-apa terhadap persepsi yang mengatakannya menjadi alat parti pembangkang itu untuk mendapatkan sokongan Melayu.

Abdul Aziz bagaimanapun menegaskan beliau bukan menjadi alat parti berkenaan tetapi diminta bertanding mempertahankan kerusi DAP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi yang mempunyai majoriti Melayu sebanyak 57 peratus.

"Itu persepsi masing-masing, saya tak boleh buat apa, saya ada pendirian saya sendiri dan saya tak fikir saya serendah itu, saya seorang makhluk yang boleh berfikir," katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman calon DAP Perak di sini, semalam.

Pengumuman dibuat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Bekas profesor undang-undang di sebuah universiti tempatan dan menjadi ahli DAP Damansara sejak tahun 2015 itu yakin peluangnya untuk menang di kerusi berkenaan.

Saya tak memilih kawasan ini, itu bukan keputusan saya, (tapi) saya akan berusaha sebaik mungkin, kerja kuat untuk menangkan pakatan harapan," katanya.

Abdul Aziz adalah calon tunggal Melayu parti DAP bagi merebut tujuh kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Berita Harian X