Khamis, 19 April 2018 | 1:13pm
AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. - Foto Roslin Mat Tahir
AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. - Foto Roslin Mat Tahir

'DAP berangan jadi TPM'

KUALA LUMPUR: DAP mungkin akan mengumumkan wakil parti itu untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri jika pembangkang berjaya merampas pentadbiran kerajaan pusat daripada Barisan Nasional (BN).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, tidak menolak kemungkinan itu susulan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mengumumkan calon kerusi Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming akan dilantik sebagai menteri jika pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahmad Shabery secara sinis berkata, DAP berhak untuk berangan-angan untuk meletakkan wakil parti itu sebagai menteri atau Timbalan Perdana Menteri.

"Saya rasa tak salah kalau DAP nak berangan (calon parti sebagai menteri), tapi yang penting menang dulu pilihan raya.

"Saya lihat sebelah sana memang, PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) pun nak calon mereka jadi menteri dan Perdana Menteri, PKR pun nak orang mereka.

"Jadi, tak mustahil DAP akan mengemukakan orang mereka sebagai menteri atau Timbalan Perdana Menteri. Terpulang pada mereka kerana angan-angan itu percuma," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Ekspo dan Forum Livestock Asia 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Ahmad Shabery yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, mengulas mengenai tindakan DAP mengumumkan bahawa Kor Ming akan dilantik menteri jika menang di Teluk Intan, baru-baru ini.

Guan Eng juga pernah mengumumkan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong akan dilantik sebagai menteri ketika mengumumkan calon pembangkang yang akan bertanding di kerusi Parlimen Ayer Hitam.

Susulan pengumuman itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, yang menyertai DAP pada Februari tahun lalu, mengeluarkan kenyataan menerusi Twitter peribadinya, mendakwa 'parti Cina' dalam pembangkang sudah mengumumkan dua bakal menteri, sementara parti Melayu pula berdiam diri dalam perkara itu.

Selasa lalu, Zaid melahirkan simpati kepada bekas Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw, yang digugurkan oleh DAP sebagai calon PRU-14, selepas hampir 36 tahun berkhidmat di kawasan itu.

Berita Harian X