Isnin, 9 April 2018 | 4:23pm
KAMALANATHAN (dua dari kanan) dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Dato' Haji Kamaruddin, Che Zainudin Che Mohd Nor (kanan) bersama sebahagian pelajar pada majlis perasmian Program Ace It Easy di Kuala Kubu Bharu, hari ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
KAMALANATHAN (dua dari kanan) dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Dato' Haji Kamaruddin, Che Zainudin Che Mohd Nor (kanan) bersama sebahagian pelajar pada majlis perasmian Program Ace It Easy di Kuala Kubu Bharu, hari ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Tiada sebab masyarakat India tolak BN

KUALA KUBU BHARU: Tiada sebab masyarakat India menolak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana kerajaan BN tidak pernah berhenti membela masyarakat itu sejak Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata keputusan Kabinet meluluskan 700 tempat tambahan kepada pelajar India melanjutkan pengajian ke Kolej Matrikulasi mulai tahun ini adalah antara bukti keprihatinan Najib.

Katanya, Perdana Menteri bekerja keras memastikan kaum itu mencapai kemajuan khususnya dalam bidang pendidikan selepas terhalang ketika bekas Perdana Menteri selama 22 tahun memperkenalkan dasar meritokrasi.

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan meluluskan 1,500 tempat untuk kaum berkenaan, yang menjadikan keseluruhan 2,200 tempat.

"Sejak menjadi Perdana Menteri sembilan tahun lalu, Najib memberikan peruntukan hampir RM1 bilion untuk pembinaan dan menaik taraf Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), jauh lebih besar berbanding era bekas Perdana Menteri selama 22 tahun.

"Ketika, Tun S Samy Vellu menjadi Presiden MIC dan Menteri Kerjaraya, beliau ada memohon RM10 juta untuk sekolah Tamil tetapi tidak dilayan.

"Sekarang RM10 juta boleh diluluskan Najib bila-bila masa demi kepentingan masyarakat India supaya tidak ketinggalan. Selain Kerajaan India, tiada mana-mana kerajaan lain di dunia yang prihatin terhadap sekolah Tamil," katanya.

Beliau, yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) MIC, berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program 'Ace It Easy' di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Haji Kamaruddin di sini, hari ini.

'Ace It Easy' adalah program dilaksanakan untuk memastikan pelajar mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan dengan mudah, tenang dan tanpa tekanan.

Program itu berupaya merangsang minda generasi muda dengan memupuk kreativiti berfikiran luas dan mempunyai matlamat hidup.

Dalam pada itu, Kamalanathan berkata janji pembangkang untuk membina lebih banyak Sekolah Menengah Tamil di seluruh negara hanya janji kosong yang mustahil dilaksanakan.

"Ingat, kerajaan Kelantan mahu luluskan pembinaan sekolah menengah Tamil di negeri itu, begitu juga di Sabah dan Sarawak, yang semua sedia maklum jumlah kaum India terlalu kecil di negeri terbabit," katanya.

Berita Harian X