Selasa, 3 April 2018 | 10:33am

60,000 jentera BN dikerah tangkis fitnah pembangkang

KLUANG: Seramai 60,000 jentera penerangan Barisan Nasional (BN) bersiap siaga untuk menangkis fitnah pembangkang yang dijangka meningkatkan menjelang Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU-14).

Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN, Tan Sri Annuar Musa, berkata perkara itu ditekankannya dalam siri perjumpaan bersama jentera penerangan BN seluruh negara yang memasuki pusingan ketiga.

Katanya, berdasarkan pengalaman PRU-13, pembangkang meningkatkan fitnah pada minggu akhir menjelang PRU yang menyebabkan beberapa calon BN tewas disebabkan persepsi negatif yang dicipta bagi menyemai kebencian masyarakat.

"Jentera penerangan BN mesti berada di saf hadapan kerana kita jangka pembangkang merancang untuk sebar berita palsu termasuk pada saat akhir.

"Jangan lupa apa yang berlaku pada PRU-13 hingga menyebabkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin tewas akibat fitnah daripada seorang pemimpin pembangkang di Lembah Pantai.

"Juga tuduhan palsu yang mendakwa ribuan pendatang Bangladesh dibawa masuk untuk mengundi, selain cerita bekalan elektrik terpadam (ketika kiraan undi) sehingga dipercayai masyarakat.

"Saya nak ingatkan jentera penerangan BN untuk buat persiapan kerana berkemungkinan strategi sama dengan keadaan lebih licik akan digunakan pembangkang, " katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ceramah Umum Tolak Pakatan Hipokrasi di Dewan Muafakat, Taman Kluang Barat, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali; Pengerusi MCA Bahagian Kluang, Gan Ping Sieu; Ahli Jawatankuasa Kuasa MCA Pusat, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

Annuar yang juga Ketua Penerangan UMNO, berkata jentera penerangan BN akan menggunakan pendekatan lebih bersepadu bukan saja secara bersemuka, malah di media sosial bagi menangkis fitnah dan berita palsu yang dicipta dan disebarkan pembangkang.

"Penerangan terhadap fitnah dan berita palsu pembangkang bukan saja akan dijawab dengan segera, malah penyebaran maklumat sahih akan dilakukan secara lebih menyeluruh bagi memusnahkan persepsi negatif yang mahu diwujudkan bagi mengundang kebencian rakyat," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Annuar berkata, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad berniat mahu mengawal Malaysia di bawah telunjuknya.

Katanya, sejarah membuktikan Dr Mahathir akan menyingkirkan pemimpin yang tidak sehaluan dengannya bagi meluaskan pengaruh dan kekuasaannya dalam kerajaan.

"Lihatlah bagaimana Dr Mahathir punya nak kawal Malaysia dan tingkatkan pengaruhnya semua pemimpin yang bersamanya dulu disingkirkan satu persatu.

"Bila Tun Musa Hitam kuat, Mahathir jatuhkan. Bila Tun Ghafar Baba kuat, dia jatuhkan. Bila Datuk Seri Anuar Ibrahim kuat, dia jatuhkan. Bila Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak ikut cakap dia, Dr Mahathir jatuhkan.

"Kini selepas mengangkat Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri tetapi apabila Najib tidak mahu ikut kemahuan dia, Perdana Menteri juga nak dijatuhkan. Ini bukan negara tok nenek Dr Mahathir. Malaysia ini negara kita semua," katanya.

PENGERUSI Biro Publisiti dan Penerangan BN, Tan Sri Annuar Musa pada sidang media selepas Ceramah Umum Tolak Pakatan Hipokerasi di Taman Kluang Barat, Kluang. - Foto Adnan Ibrahim
PENGERUSI Biro Publisiti dan Penerangan BN, Tan Sri Annuar Musa pada sidang media selepas Ceramah Umum Tolak Pakatan Hipokerasi di Taman Kluang Barat, Kluang. - Foto Adnan Ibrahim
Berita Harian X