Sabtu, 31 March 2018 | 9:23pm
KIT Siang dan Dr Mahathir.
KIT Siang dan Dr Mahathir.

Persahabatan Kit Siang, Dr Mahathir jadi tanda tanya

PARIT BUNTAR: Keakraban antara pengerusi pakatan pembangkang, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menimbulkan tanda tanya kerana sejak 50 tahun lalu, mereka saling membenci.

Menteri Pendidikan yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata sepanjang 50 tahun dalam politik, Dr Mahathir asyik 'membelasah' Kit Siang dengan pelbagai label diberikan termasuk Kit Siang rasis, anti-Melayu dan anti-Islam.

"Tapi sekarang, dalam tempoh setahun setengah, Dr Mahathir dan Kit Siang sudah 'cium mulut' dan mereka nak kongsi platform politik," katanya selepas merasmikan Program Jelajah Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia 2018, di Mydin Mall Parit Buntar di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mahdzir berkata, beliau yakin rakyat terutamanya orang Melayu tidak mudah percaya dengan janji-janji pembangkang termasuk Dr Mahathir yang kini bekerjasama dengan DAP yang dahulu dibencinya.

Terdahulu bercakap mengenai Program Jelajah Pendidikan 2018 yang dilaksanakan, beliau berkata, KPM menjelajah ke enam lokasi bagi menjayakan program itu bermula 10 hingga 11 Februari lalu di Kajang, Selangor diikuti Langkawi, Kedah, Parit Buntar pada hari ini dan esok serta Temerloh di Pahang sebagai lokasi penutup.

Sementara itu di KEPALA BATAS, Mahdzir berkata, Barisan Nasional (BN) tidak gentar untuk menghadapi Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Mahdzir sebelum itu merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan di Bumbung Lima, di sini.

Hadir sama Timbalan Menteri Luar yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang Mohd Jamil Mohamed.

Mahdzir berkata, projek di tapak seluas 8.29 hektar dengan kos RM45 juta itu dijangka siap pada April 2020.

Berita Harian X