Sabtu, 3 March 2018 | 1:57pm
NUR Jazlan (tengah) bergambar dengan pelajar cemerlang pada majlis perasmian Mesyuarat Agung PIBG SK Bukit Kempas, di Johor Bahru. - Foto ihsan UMNO Parlimen Pulai
NUR Jazlan (tengah) bergambar dengan pelajar cemerlang pada majlis perasmian Mesyuarat Agung PIBG SK Bukit Kempas, di Johor Bahru. - Foto ihsan UMNO Parlimen Pulai

Elak terpengaruh emosi kebencian Dr M

JOHOR BAHRU: Rakyat Johor diminta tidak terpedaya dengan taktik pembangkang yang menggunakan emosi kebencian sehingga tidak mahu melihat negeri ini maju.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata rakyat Johor diharap tidak tertipu dengan Tun Dr Mahathir Mohamed kerana pemimpin itu dilihat tidak pernah menyokong projek pembangunan yang dibawa kerajaan ke negeri ini, malah mahu melihat projek itu gagal.

Katanya, bagi bekas pemimpin itu, jika Johor maju, ia tidak menggambarkan kejayaannya sehingga sanggup membuat pelbagai taktik mewujudkan emosi kebencian.

"Jadi, saya saya ingin memohon rakyat Johor supaya tidak terpedaya dengan taktik menggunakan emosi kebencian yang dibuat Dr Mahathir seperti dia buat selama ini. Dia tak mahu Johor maju, kalau maju ia tidak menggambarkan kejayaan beliau sendiri," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kempas, di sini, hari ini.

Nur Jazlan yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Ahli Parlimen Pulai, berkata Dr Mahathir bukan seorang yang jujur dan tidak pernah menyokong projek pembangunan dibawa kerajaan seperti projek pembangunan wilayah Iskandar Malaysia.

Katanya, Dr Mahathir juga dilihat tidak mahu berbaik dengan Singapura untuk bekerjasama membangunkan ekonomi kedua-dua negara sedangkan usaha itu sebenarnya mampu memberi limpahan ekonomi kepada rakyat negeri ini.

"Sebaliknya, keadaan itu berbeza apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri. Hubungan antara Malaysia dan Singapura kini bertambah baik dan memberi manfaat kepada rakyat Johor.

"Beliau (Dr Mahathir) juga tidak menyokong pertumbuhan ekonomi Iskandar Malaysia yang diperkenalkan Abdullah. Bahkan, beliau (Dr Mahathir) iri hati dan terus keluar UMNO untuk menjatuhkan Abdullah sebelum kembali masuk semula UMNO," katanya.

Nur Jazlan berkata, ini kerana, Dr Mahathir adalah seorang yang 'narcissist' atau mementingkan diri kerana memikirkan beliau saja yang betul, sementara orang lain selalu melakukan kesalahan.

"Dr Mahathir sentiasa memikirkan dirinya saja yang terbaik. Atas sebab itu, ketika beliau memilih Abdullah menggantikannya, pilihan itu bukannya jujur kerana menganggap Abdullah jauh daripada berkemampuan berbanding dia," katanya.

Berita Harian X