Selasa, 27 Februari 2018 | 2:58pm
RAZALI berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina MCA Bahagian Muar di Bangunan MCA Bahagian Muar. - Foto Adi Safri
RAZALI berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina MCA Bahagian Muar di Bangunan MCA Bahagian Muar. - Foto Adi Safri

BN mewakili semua parti komponen dan kaum

MUAR: Semua calon yang dipilih mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang akan mewakili semua parti komponen dan rakyat di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim, berkata ini kerana parti seperti UMNO, MCA atau MIC tidak bertanding pada PRU, kerana semua parti komponen ini akan bertanding atas nama BN.

"Kita tak letak calon UMNO, MCA, MIC atau parti komponen lain, yang ada hanya calon BN (pada PRU). Jadi calon BN adalah calon yang akan dipilih mewakili seluruh parti komponen dan rakyat Malaysia.

"Nombor dua saya nak tambah, Parti Perikatan tertubuh menerusi tiga parti (UMNO-MCA-MIC), dan dia tak ada siapa senior siapa junior yang selalu pembangkang cakap UMNO sebagai 'Big Brother' (abang besar).

"Ini kerana UMNO, MCA, MIC adalah founder (pengasas) kepada Perikatan dan berkembang menjadi BN selepas disertai pelbagai parti lain yang kebanyakannya mewakili etnik.

"Maknanya, apa pun alasannya yang akan bertanding (PRU) kelak adalah BN. Berbanding pembangkang, dia mengaku bersama tetapi logo lain-lain. Mereka mempunyai objektif hanya untuk menubuhkan kerajaan dengan menjatuhkan BN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Tahun Baharu Cina MCA Bahagian Muar di Bangunan MCA Bahagian Muar di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi MCA Bahagian Muar, Datuk Tay Puay Chuan.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, berbanding pembangkang yang mempunyai objektif berbeza antara satu sama lain, BN pula akan berbincang bersama-sama sebelum bertemu rakyat termasuk kesepakatan dalam pengagihan kerusi, menggunakan satu lambang dan membawa misi serta objektif yang sama.

"Saya juga sebutkan di sini mengenai betapa pentingnya untuk kita menjaga tiga perkara iaitu agama, kaum dan wilayah yang pelbagai di negara ini yang biasanya akan menjadi konflik di negara lain.

"Jadi tugas kita sangat tinggi dan kita sudah sedia mempunyai jalan penyelesaiannya iaitu BN.

"BN adalah jalan penyelesaian kepada tiga perkara dan perbezaan ini yang berjaya mengelakkan konflik daripada berlaku di negara ini. Jadi, macam mana nak buang BN selepas parti ini menemui jalan penyelesaian dan meletakkan pembinaan negara ini sebagai keutamaan," katanya.

Berita Harian X