Selasa, 6 Februari 2018 | 2:29pm

BN mampu kekal di Perak - Penganalisis

Oleh Shaarani Ismail

shaarani@bh.com.my

IPOH: Barisan Nasional (BN) dilihat positif untuk terus mengekalkan kuasa di Perak walaupun pakatan pembangkang dan PAS mendakwa mempunyai kekuatan untuk merampas semula Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Meskipun pakatan pembangkang khususnya DAP dilihat tidak berdepan laluan sukar mempertahankan kerusi sedia ada terutama di kawasan pengundi majoriti Cina, namun di kawasan kerusi majoriti Melayu, UMNO, PAS, Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) dilihat cuba mengintai peluang untuk kekal atau merampas kerusi sedia ada.

Felo Penyelidik Institut Kajian Analisis Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri, berkata BN melalui UMNO dilihat mampu mempertahankan semua kerusi dimenangi pada PRU-13 yang lalu.

Namun, katanya, BN perlu berkempen secara bijak di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini menang dengan majoriti tipis.

"Kerusi DUN Manong, Manjoi, Rungkup, Kamunting, Kubu Gajah, Lubok Merbau, Changkat Jong dan Pasir Panjang menjadi kerusi diintai pakatan pembangkang dan PAS dengan masing-masing turut menyatakan yakin menang merampas kerusi berkenaan.

"Tidak dinafikan kerusi itu boleh bertukar tangan JIKA tidak ada langkah proaktif diambil BN dalam memberikan keyakinan kepada pengundi, khususnya pengundi baharu yang jumlahnya agak signifikan serta mampu memberikan keputusan mengejutkan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah pengundi baharu meskipun tidak besar peratusnya, namun berupaya menjadi penentu dan pencetus perubahan kepada parti bertanding.

Katanya, untuk semua kerusi berkenaan, pertandingan dilihat lebih kepada pertembungan antara UMNO dan PAS kerana masing-masing mempunyai sejarah tersendiri serta sudah mempunyai penyokong akar umbi yang kuat sejak sekian lama.

"Ramai mengetahui kebanyakan kerusi majoriti Melayu akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru atau lebih yang membabitkan UMNO-PAS-PAN atau UMNO-PAS-PKR dan bukan lagi pertembungan satu lawan satu kerana perpecahan undi Melayu," katanya.

Katanya, jawapan sinis Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu juga bukan menyimpan angan-angan Mat Jenin kerana mempunyai sokongan akar umbi cawangan dan kawasan yang kuat serta mempunyai jentera kukuh juga tidak boleh disangkal dan diambil mudah.

"Paling penting BN dan UMNO perlu bekerja keras, tidak mengambil mudah keupayaan lawan serta perlu menjadi tunjang kepada parti komponen BN yang lain termasuk menyediakan manifesto yang diyakini dan meyakinkan pengundi khususnya pengundi baharu.

"Ia penting bagi memastikan pengundi muda atau pengundi kali pertama tidak menjadikan PRU kali ini pilihan raya eksperimen, sebaliknya mereka boleh diyakinkan dengan keupayaan dan kemampuan parti pilihan menangani isu yang mereka hadapi," katanya.

Sementara itu, katanya, isu pergolakan dalaman membabitkan parti komponen dalam pakatan pembangkang dan PAS perlu dijadikan satu kelebihan oleh BN memastikan ia membantu meraih sokongan pengundi.

Katanya, dengan krisis perlembagaan yang melanda PPBM, krisis dalaman dan pergolakan membabitkan PAN dan PKR, krisis dalaman PKR, hilang kepercayaan terhadap pimpinan DAP di beberapa negeri serta faktor kepimpinan Abdul Hadi dalam PAS, perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

"Ia termasuk kegagalan pakatan pembangkang memuktamadkan jumlah agihan kerusi di beberapa negeri termasuk Perak, Selangor dan Pulau Pinang yang sehingga kini masih berkecamuk, terutama kerusi membabitkan PKR, PAN dan PPBM yang menimbulkan rasa kurang senang dan tidak puas hati ahli terhadap keputusan dibuat pimpinan pusat pakatan pembangkang," katanya.

Berita Harian X