Isnin, 8 Januari 2018 | 11:09am
DATUK Ti Lian Ker. - Foto NSTP Muhd Asyraf Sawal
DATUK Ti Lian Ker. - Foto NSTP Muhd Asyraf Sawal

"Tun M akan 'mainkan' DAP lagi"

KUALA LUMPUR: Pegangan prinsip yang semakin luput dalam DAP bakal dihukum pengundi Cina, selepas kepercayaan mereka dikhianati dan diperlakukan ibarat 'zombi' atau mayat hidup politik.

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, berkata berdekad-dekad lamanya parti cauvinis itu menjaja dakyah bahawa sentimen perkauman dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad sukar dipisahkan.

Selain itu, katanya, DAP melontarkan pelbagai tuduhan, kononnya kerjasama MCA menerusi naungan Barisan Nasional (BN) sering memperjudi dan memperlekeh nasib masyarakat keturunan Cina di negara ini.

"Selepas tiga dekad mengelirukan penyokong dan meraih simpati pengundi Cina, DAP semestinya bermimpi di siang hari, memikirkan bahawa dakyah mereka selama ini tidak akan dihukum serta dilupakan.

"Mungkin mereka (DAP) berharap tipu daya sebegini berupaya mengaburi pemikiran pengundi baharu, namun ia silap kerana golongan yang majoritinya belia kini semakin bijak dan cakna," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lian Ker berkata, DAP bakal berdepan hukuman setimpal daripada pengundi Cina selepas parti berkenaan belot dengan bersekongkol untuk menjadikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri semula.

Tindakan keji itu, katanya, mencerminkan kerakusan DAP yang selama ini dahagakan kuasa dan keinginan untuk menawan Putrajaya, sehingga sanggup membelakangkan prinsip parti serta janjinya kepada masyarakat.

"Generasi pelbagai usia tidak mungkin menaruh kepercayaan atau lupa dengan apa yang dilakukan Dr Mahathir, seperti siri insiden dan percaturan politiknya sebelum ini.

"Dr Mahathir meranapkan usaha Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra yang selama ini menegakkan dasar sekular Perlembagaan Persekutuan dan pengiktirafan hak pelbagai kaum pasca kemerdekaan.

"Selain penerbitan buku Tun M (Mahathir), Dilema Melayu yang bersifat perkauman, beliau bertanggungjawab mendalangi gerakan menyingkirkan dua Perdana Menteri, iaitu Allahyarham Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Ahmad Badawi," katanya.

Mengulas perjanjian untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lian Ker berkata, Kit Siang hanya berangan-angan apabila memikirkan Dr Mahathir akan berpegang kepada janjinya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Helah sedemikian, katanya, sudah menjadi resam dalam percaturan politik terdahulu Dr Mahathir yang tidak pernah menunaikan sebarang janji ditabur sebelum pilihan raya.

"Seperti dikatakan Kit Siang, Dr Mahathir memperdayakan masyarakat keturunan Cina, kononnya bersetuju dengan tuntutan Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan Cina Malaysia (SUQIU) sebelum PRU-10 pada 1999.

"Bagaimanapun, selepas Dr Mahathir meraih kemenangan, beliau kembali menegaskan pendiriannya dengan mengklasifikasikan penyokong SUQIU sebagai komunis, pelampau dan puak tidak bersyukur," katanya.

Berita Harian X