Isnin, 1 Januari 2018 | 4:50pm
PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Farizul Hafiz Awang
PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Farizul Hafiz Awang

Dr Mahathir mohon maaf kepada Kit Siang

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mendakwa permohonan maaf Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad ditujukan khas kepada Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan rakan dalam parti itu.

Katanya, tindakan itu dilakukan kerana Dr Mahathir memerlukan sokongan DAP untuk mencapai cita-citanya kembali menjadi Perdana Menteri seperti dikehendaki anaknya, Datuk Seri Mukhriz yang juga Timbalan Presiden PPBM.

"Akhirnya matlamat menghalalkan cara. Buat apa pun, cara mana pun janji matlamat mesti tercapai. Banyak dilakukan Dr Mahathir ketika jadi Perdana Menteri dulu sangat ditentang pemimpin pembangkang termasuk Kit Siang.

"Tetapi pada hari ini, semua mereka itu tiba-tiba menikus dan terpaksa berdiam diri. Mana prinsip perjuangan mereka? Boleh percaya ke jenis pemimpin seperti ini.

"Mereka seperti cakap tak serupa bikin. Apabila ternampak saja ada peluang, prinsip diletakkan di kepala lutut," katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas permohonan maaf Dr Mahathir dalam ucapan penggulungannya sempena perhimpunan agung PPBM di Pusat Konvensyen Ideal, di Shah Alam, kelmarin.

Dr Mahathir,93, menyifatkan dirinya sebagai manusia biasa dan tidak lari daripada melakukan kesilapan, justeru mengemukakan permohonan maaf secara terbuka ketika mengakhiri ucapan dasar.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu menjelaskan permohonan maaf itu tidak bermakna dirinya terbabit dalam melakukan kesalahan, sebaliknya bersifat umum dan tidak ditujukan kepada mana-mana pihak atau dikaitkan dengan sebarang peristiwa.

Berita Harian X