Ahad, 31 Disember 2017 | 6:46pm
BEKAS Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Hamidah Osman (tengah) pada sidang media di kediamannya di Batu Gajah, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya
BEKAS Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Hamidah Osman (tengah) pada sidang media di kediamannya di Batu Gajah, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya

Tun M pentingkan diri - Hamidah

BATU GAJAH: Habis madu sepah dibuang.

Itulah perumpamaan digunakan bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Hamidah Osman, susulan gelaran 'sampah' digunakan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap individu yang meninggalkan parti itu.

Beliau menzahirkan rasa terkejut dan kecewa dengan kenyataan Pengerusi PPBM itu yang menggelar beliau dan pengikutnya sebagai sampah, malah lebih daripada musuh.

"Sebagai seorang yang tinggi kedudukannya, negarawan terulung boleh meletakkan dirinya begitu rendah dengan menggunakan persidangan itu (Perhimpunan Agung Tahun PPBM) untuk menghentam saya dan rakan yang keluar parti (PPBM).

"Tidak adil Tun M buat begitu kerana kami banyak melakukan pengorbanan ketika saya membuat keputusan untuk bersama beliau. Saya ketika itu masih Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng.

"Tapi demi beliau, saya sanggup lepaskan jawatan dan begitu juga dengan rakan saya," katanya pada sidang media di kediamannya di sini hari ini. 

Hamidah menyifatkan bekas Perdana Menteri itu sebagai pemimpin diktator, ego serta mementingkan diri sendiri sehingga melupakan jasanya sebagai salah seorang pengasas PPBM.

"Tetapi inilah Tun M, seorang diktator yang semua orang mesti dengar cakap beliau, kalau tidak ikut, beliau akan serang.

"Beliau hanya akan bersama dengan sesiapa yang mahu bersekongkol dan jika bercanggah, beliau akan menolak," katanya sambil tidak menolak kemungkinan Dr Mahathir akan melakukan perkara sama terhadap pemimpin pembangkang lain yang enggan mengikut telunjuknya.

Hamidah yang juga bekas EXCO kerajaan Perak, mengakui merasa tertipu selepas menyertai PPBM kerana pada awal penubuhan parti itu mendakwa kononnya mahu menggantikan perjuangan UMNO untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.

Bagaimanapun, katanya, pada persidangan agung sulung PPBM, semalam, jelas menunjukkan ia hanya menjadi tempat luahan serangan peribadi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bukannya berbincang mengenai perancangan untuk rakyat dan negara.

Katanya, tindakan PPBM mengemukakan satu usul supaya Dr Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri, sudah cukup menunjukkan matlamat itu perancangan berbaur `gila kuasa'.

"Tun M hari ini bukanlah seperti yang dulu, beliau sudah ada kelemahan mental dan fizikal, malah cakapnya juga tidak konsisten dan saya khuatir kelemahan beliau untuk menjadi Perdana Menteri," katanya.

Berita Harian X