Ahad, 31 Disember 2017 | 2:00pm
PENGERUSI PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, berucap ketika Perhimpunan Agung Tahunan Pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia di IDCC, Shah Alam. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali.
PENGERUSI PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, berucap ketika Perhimpunan Agung Tahunan Pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia di IDCC, Shah Alam. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali.

Dr M usah minta maaf macam Hari Raya

KUALA LUMPUR: Permohonan maaf Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan helah dan gimik politik untuk menutup pelbagai kesalahan yang dilakukan ketika menerajui negara selama 22 tahun.

Sandiwara yang dipertontonkan di khalayak ramai itu didakwa untuk memberi gambaran pakatan pembangkang sepakat dan segala percakaran antara mereka sebelum ini sudah 'terkubur'.

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Abdul Halim Sidek, berkata tiada sebab untuk Dr Mahathir memohon maaf jika yakin tidak melakukan sebarang kesalahan sepanjang menyandang jawatan Perdana Menteri.

"Lazimnya, manusia waras meminta maaf secara ikhlas dan didasari penyesalan selepas mendapat hidayah Allah mengenai sebarang kesilapan yang pernah dilakukannya sebelum ini.

"Oleh itu, Dr Mahathir tidak perlulah minta maaf kalau rasa beliau tidak pernah melakukan kesalahan sepanjang diberi mandat menjadi Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003.

"Orang minta maaf saja-saja, kononnya kerana adat Melayu ini samalah macam kita mohon maaf ketika Hari Raya, tapi tidak pernah ambil tahu apa kesilapan yang dilakukan," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ketika ucapan dasar perhimpunan agung parti itu semalam menyifatkan dirinya sebagai manusia biasa dan tidak lari daripada melakukan kesilapan, mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menjelaskan permohonan maaf itu tidak bermakna dirinya terbabit dalam melakukan kesalahan, sebaliknya bersifat umum dan tidak ditujukan kepada mana-mana pihak atau dikaitkan dengan sebarang peristiwa.

Abdul Halim berkata, permohonan maaf secara terbuka oleh Dr Mahathir itu adalah pengakuan bahawa beliau pernah melakukan kesilapan jika diteliti menerusi sisi undang-undang.

"Kalau Melayu biasa buat permohonan maaf seperti itu, mungkin tiada kesan perundangan, sebaliknya kenyataan berkenaan hadir daripada Dr Mahathir yang pernah menerajui negara sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun.

"Kita tidak nafikan Dr Mahathir ada buat kebaikan sepanjang tempoh itu, namun wujud juga kesalahan mencakupi pelbagai perkara yang sehingga kini masih terpahat dalam ingatan pihak berkaitan," katanya.

Mengulas keterbukaan Nurul Izzah Anwar yang menerima permohonan maaf Dr Mahathir, beliau berkata, 'dialog' politik tanpa didasari keikhlasan itu sudah dirancang bagi mengaburi mata orang ramai.

"Kenapa kita nak merawak dalam kegelapan memikirkan apa konteks Nurul Izzah terima permohonan maaf itu melainkan tindakan Dr Mahathir menghumban bapanya (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ke penjara pada 1998.

"Dr Mahathir memang terkenal dengan helah politik licik seperti ini, sekali gus menyaksikan permohonan maaf beliau terus disambut juaknya, termasuk Nurul Izzah," katanya.

Berita Harian X