KUALA LUMPUR : Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, berkata Datuk Seri Najib Razak betul apabila menyatakan Lim Kit Siang berhasrat menjadi perdana menteri.
Katanya sebab itu Kit Siang enggan melepaskan jawatan tertinggi dalam DAP supaya boleh mengawal parti terbabit.
"Sekarang, Lim Kit Siang perlu menjadi perdana menteri jika beliau mahu menyelamatkan Lim Guan Eng daripada dihukum penjara kerana tuduhan rasuah.
"Selama ini, Lim Kit Siang berpura-pura menyokong orang lain (sebagai Perdana Menteri) untuk melencongkan pandangan umum dan menyembunyikan hasrat sebenarnya," katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Tunku Abdul Aziz berkata hasrat utama seseorang diktator ialah menjawat jawatan utama iaitu perdana menteri.
Sambil mencabar Kit Siang, menjawab kenyataan Najib yang juga Presiden UMNO itu, Tunku Abdul Aziz berkata Kit Siang tidak boleh lagi berselindung di sebalik seorang Melayu seperti yang sering dilakukannya.
Untuk rekod, DAP selama ini menyokong Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai perdana menteri jika gabungan pembangkang menang pilihan raya umum kelak.
"Dr Mahathir (Mohamad) dan Anwar bukan Ahli Parlimen dan mereka tidak layak menjadi Perdana Menteri," kata Tunku Abdul Aziz.
Dr Mahathir adalah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Semalam, ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2017, Najib dilaporkan berkata beliau mendengar khabar ada orang bernama Lim Kit Siang mahu menjadi perdana menteri seperti dinyatakan oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Jawi, Pulau Pinang, Tan Beng Huat, yang keluar keluar DAP.
Beng Huat dilaporkan keluar parti kerana mendakwa Kit Siang seorang diktator selain tidak boleh menerima cara pemimpin veteran DAP itu.